Kekal penarafan neutral sektor pelabuhan, logistik - Utusan Malaysia

Kekal penarafan neutral sektor pelabuhan, logistik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenanga Investment Bank Berhad (Kenanga Research) mengekalkan penarafan ‘neutral’ bagi sektor pelabuhan dan logistik selepas mengambil kira lecongan laluan perkapalan dari Laut Merah bakal terus membebankan perdagangan global.

Firma penyelidikan itu berkata, gangguan yang terdapat dari laluan Laut Merah menyebabkan masa penghantaran perdagangan panjang sekali gus menjejaskan sektor Asia Eropah ekoran gangguan berlaku di Terusan Panama.

Menurutnya, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada Apr 2024, mengurangkan unjuran pertumbuhan volum perdagangan barangan global pada 2024, kepada 2.6 peratus daripada 3.3 peratus.

“WTO turut menyatakan paras air yang lebih rendah di Terusan Panama akibat berlakunya musim kemarau yang teruk sekali gus mengganggu pergerakan perkapalan.

“Justeru, lencongan dari Terusan Suez ke Tanjung Harapan telah menghasilkan pelayaran yang lebih panjang bagi laluan Asia-Eropah,” katanya dalam nota penyelidikan.

Dalam pada itu, katanya, peraturan yang lebih mengenai pelepasan karbon daripada Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Kesatuan Eropah, turut memberi cabaran baru kepada perdagangan global.

“Di bawah peraturan IMO baharu yang berkuat kuasa Januari 2023, semua kapal diwajibkan melaporkan keamatan karbon dan akan dinilai sewajarnya.

“Kapal mesti merekodkan peningkatan tahunan sebanyak 2 peratus bagi keamatan karbon dari 2023 hingga 2030,” katanya.

Sementara itu, katanya, dasar Mekanisme Penyesuaian Sempadan Karbon (CBAM) boleh mengganggu eksport komoditi tertentu seperti besi, keluli, simen, aluminium baja, elektrik dan hidrogen ke EU.

“Apabila CBAM berkuat kuasa sepenuhnya mulai 2026, pengimport perlu membeli kredit karbon yang mencerminkan pelepasan karbon yang dijana dalam menghasilkannya,” kata firma penyelidikan itu.

Walaupun sektor pelabuhan dan logistik dibebani dengan cabaran berturut-turut, Kenanga Research mendapati sektor logistik domestik menerima manfaat daripada e-dagang yang berkembang pesat.

“Pakar industri mengunjurkan volum barangan kasar e-dagang tempatan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 7 peratus dari 2023 hingga 2027.

“Ia mampu berkembang sehingga mencecah RM1.9 trilion menjelang 2027 daripada RM1.4 trilion pada 2023,” katanya.

Kenanga Research berkata, e-dagang yang berkembang pesat akan memacukan lagi permintaan bagi hab pengedaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya