Kek, manisan Eaqram Edible Arts tembusi pasaran dengan sijil halal - Utusan Malaysia

Kek, manisan Eaqram Edible Arts tembusi pasaran dengan sijil halal

MUHAMMAD Ikram menunjukkan kek bertema yang dihasilkannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perniagaan kek dan manisan, Eaqram Edible Arts yang menerima pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dapat memasarkan produk secara lebih meluas di pasar raya dan stesen minyak di sekitar Negeri Sembilan.

Pengusaha, Muhammad Ikram Mod Nizan,36, menjual pelbagai jenis manisan dan kek dari rumah di Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan itu menawarkan kek jenis bertema dan berhias mengikut spesifikasi dan kehendak pelanggan.

“Pensijilan halal diperlukan sebagai batu loncatan dan keperluan bagi kami untuk memasarkan produk secara lebih meluas dan profesional, sebagai contoh dapat memasarkan produk kami di pasar raya dan stesen minyak.

“Apabila menerima sijil perakuan halal ia lebih memudahkan proses serta dapat memberikan imej syarikat yang lebih kompeten dan diyakini para pengguna dan pembeli,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Muhammad Ikram berkata, beliau telah mula memohon sijil halal pada awal Ogos 2023 dan berjaya mendapat sijil halal pada 16 Februari tahun ini.

Jelasnya, Eaqram Edible Arts mula menjalankan perniagaan dari rumah pada tahun 2017 terdiri daripada pelbagai jenis manisan serta kek seperti kek perkahwinan sehingga tiga tingkat, kek fondan, kek 3D serta pelbagai kek seperti batik indulgence, tart coklat, tart keju, makaron dan sebagainya.

Beliau yang kini mempunyai tiga orang pekerja sepenuh masa berkata, harga yang ditawarkan bermula dari RM55 hingga RM160 untuk kek khas, manakala, kek perkahwinan dua tingkat dan tiga tingkat masing-masing bermula RM250 hingga ke RM600.

Tambah Muhammad Ikram, pensijilan halal yang diterima meraih kepercayaan pelanggan dari sudut pandang, kebersihan dan status halal sesuatu produk tersebut.

“Kami menerima peningkatan jualan hingga tiga kali ganda atau 60 peratus selepas para pelanggan mengetahui mengenai status halal kami.

“Jika sebelum ini, saya mampu menjana RM8,000 sebulan namun, kini, saya mendapat sehingga RM18,000 sebulan dan berjaya memasarkan produk di pasar raya, kafe dan kiosk di beberapa kawasan seperti Ampangan dan Senawang sehingga mencecah 1,000 tempahan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan peniaga dan pengusaha merebut peluang untuk mendapatkan sijil halal agar dapat memasarkan produk dan perniagaan dengan lebih meluas serta dapat mengukuhkan kepercayaan pelanggan untuk membeli produk.

“Selain itu, sijil halal dapat memberikan imej syarikat anda yang lebih kompeten dan menunjukkan keboleh percayaan yang tinggi daripada para pelanggan dan pelabur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya