Jualan sektor hartanah tidak alami impak negatif - Utusan Malaysia

Jualan sektor hartanah tidak alami impak negatif

KENAIKAN harga hartanah dijangka tidak menjejaskan jualan hartanah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RASIONALISASI subsidi diesel yang diumumkan kerajaan pada 10 Jun lalu merupakan kaedah terbaik bagi mengekang ketirisan subsidi bahan api tersebut yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit kepada kerajaan.

Namun, perkara itu sedikit sebanyak mendatangkan kegusaran kepada rakyat mengenai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan kerana bukan semua sektor mendapat bantuan subsidi daripada kerajaan.

Ini termasuk syarikat-syarikat dalam sektor pembinaan dan kontraktor yang perlu membeli diesel dengan harga pasaran sekali gus memberi impak kepada harga bahan binaan.

Bagaimanapun, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, terdapat pemain industri hartanah yang mahu menjaga hubungan dengan pelanggan mereka di dalam rantaian perniagaan dengan mengekalkan harga semasa.

“Perkara ini boleh berlaku apabila barangan yang dijual merupakan stok yang telah dibeli sebelum kenaikan harga diesel pada 10 Jun lalu. Maka, mereka mampu menjual bahan mentah pada harga lama buat sementara waktu.

“Bagaimanapun, isu kenaikan kos perniagaan dan kos sara hidup bukan perkara baharu. Sebagai contoh, harga makanan sememangnya telah naik dengan agak tinggi dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut beliau, permintaan terhadap hartanah kediaman dijangka tidak terjejas teruk dan mencatatkan satu angka yang memberangsangkan.

“Sebagai contoh, jumlah transaksi sektor hartanah mencatatkan kenaikan sebanyak 34.3 peratus tahun ke tahun kepada RM56.5 billion pada suku pertama 2024.

“Daripada jumlah ini, RM25.2 billion atau 44.7 peratus adalah terdiri daripada hartanah kediaman yang juga mencatatkan peningkatan sebanyak 21 peratus pada suku pertama 2024.

“Oleh itu, permintaan terhadap sektor hartanah dijangka stabil didorong oleh faktor seperti pasaran buruh yang stabil serta dasar kerajaan yang sentiasa menyokong pembelian rumah terutama bagi mereka yang mahu membeli rumah pertama” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Afzanizam, antara langkah seterusnya adalah memastikan golongan yang layak menerima subsidi melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 1.0), SKDS 2.0 dan MySubsidi individu dan peniaga.

“Oleh itu, pendaftaran bagi mereka yang layak perlu dipercepat agar kesan kenaikan harga diesel dapat diminimumkan.

“Di samping itu, perlu dipastikan bantuan lain seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan terus dinikmati oleh mereka yang layak,” katanya.

Menurut Mohd. Afzanizam, pelarasan subsidi mungkin memberi kesan kepada tingkat harga barang dan perkhidmatan adalah signifikan.

“Bagaimanapun, ia perlu dilaksanakan bagi memastikan kerajaan dapat menyalurkan bantuan kepada mereka yang layak kerana subsidi pukal hanya menguntungkan golongan pendapatan tinggi serta dinikmati oleh warga asing di samping menggalakkan aktiviti penyeludupan,” katanya.

“Harga bahan binaan seperti besi, simen, pasir, batu bata serta upah berkemungkinan akan diselaraskan dengan harga semasa. Bagaimanapun, keputusan itu berkemungkinan tidak secara serta merta kerana peniaga juga menjaga hubungan dengan pelanggan dengan melambatkan kenaikan harga disebabkan stok lama masih lagi tersimpan yang dibeli pada harga sebelum kenaikan diesel,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula berpendapat, pelarasan subsidi akan memberikan sedikit lonjakan harga kepada sektor hartanah.
“Hal ini berikutan ada antara kontraktor yang sebelum ini menggunakan bahan api diesel bukan pada harga komersial yang sepatutnya dilakukan.

“Sekiranya ada di antara syarikat perkhidmatan pengangkutan dan logistik ini mendapat fleet card di bawah SKDS, maka kenaikan kos tersebut dapat diserap oleh pemaju,” katanya.

Aimi Zulhazmi berkata, susulan pelarasan subsidi itu juga, para kontraktor dan pemaju akan mengambil peluang untuk mengubah kenaikan kos tersebut kepada pembeli iaitu dengan pertambahan harga jualan hartanah.
“Selama ini mereka me­nikmati subsidi secara pukal namun ia telah berubah dengan inisiatif kerajaan.

“Harga jualan hartanah seharusnya tidak dinaikkan terlalu tinggi dan kerajaan perlu meletakkan mekanisme melalui agensi kerajaan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memastikan kenaikan harga barang tidak berleluasa.

“Perlu diingat, kenaikan ini hanya di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan seharusnya tidak memberikan kesan kepada hartanah di Sabah dan Sarawak yang dikecualikan daripada rasionalisasi subsidi oleh kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya