PETALING JAYA: Syarikat pembuatan piza buatan sendiri, Uncle Buyen’s Pizza menerima peningkatan pelanggan sehingga 30 peratus selepas mendapat pengiktirafan sijil halal daripada Jabatan Hal Ehwal Negeri Sembilan (Jheains) pada 2022.
Pemiliknya, Aminuddin Baharin, 56 berkata, perniagaan yang dijalankan di Gemas, Negeri Sembilan mula menjadi tarikan pelanggan dan mereka lebih yakin terhadap produk piza yang dihasilkannya.
“Saya melihat dengan adanya sijil halal ini, pelanggan lebih yakin dan tiada was-was terhadap produk kami.
“Kebanyakan pelanggan akan memilih kedai makan yang disahkan halal termasuk pelanggan yang bukan beragama İslam. Oleh itu, hampir semua pelanggan dari serata tempat akan lebih yakin untuk memasuki kedai makan yang disahkan halal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Aminuddin, beliau menggunakan konsep pembuatan piza yang segar dari dapur terus ke pelanggan.
“Kami menjual perisa dan selera antarabangsa dengan harga tempatan berpatutan. Harga piza yang dijual bermula RM10 hingga RM32.
“Sebanyak 50 piza terjual sehari dan anggaran pendapatan mencecah RM20,000 sebulan selepas mendapat pengiktirafan halal,” katanya yang kini mempunyai seramai empat orang pekerja.
Perniagaan piza milik Aminuddin itu bermula dari rumah di Sungai Besi, Kuala Lumpur pada Ogos 2020 dan berpindah ke premis di Gemas, Negeri Sembilan pada akhir tahun 2022.
Aminuddin turut menasihatkan agar semua peniaga makanan memohon sijil halal secepat mungkin bagi membolehkan perniagaan bertambah maju malah, kualiti produk dan kebersihan premis juga akan sentiasa terjaga.
“Ramai pelanggan di luar sana akan mencari atau memilih tempat makan yang mempunyai sijil halal kerana ia dijamin berkualiti dan bermutu tinggi,” katanya. – UTUSAN