Enam sebab perlu beli rumah awal - Utusan Malaysia

Enam sebab perlu beli rumah awal

PEMBELI rumah sukar dapat pinjaman bank kerana skor kredit dan pendapatan yang rendah. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERNAHKAH anda terfikir, adakah keputusan membeli rumah di usia muda satu keputusan yang betul?

Ini kerana, tidak boleh dinafikan komitmen hutang bagi pembelian rumah adalah satu bentuk komitmen yang besar dan boleh ‘menjerat’ diri suatu ketika nanti.

Sebenarnya banyak sahaja sebab untuk membeli rumah awal dan lambat. Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekutangan masing-masing.

Tambahan pula, sering kali kita dengar membeli rumah di usia muda berbanding membeli kereta meeah dan sebagainya adalah satu keputusan yang bijak.

Jadi, untuk keluaran Ringgit minggu ini kami senaraikan beberapa sebab anda perlu membeli rumah lebih awal.

ANSURAN BULANAN LEBIH RENDAH
Jika anda membeli di usia bawah 35 tahun, anda mempunyai peluang yang cerah untuk mendapatkan pinjaman 100 peratus daripada pihak bank. Ini kerana, pinjaman perumahan adalah satu bentuk pinjaman jangka panjang sehingga 35 tahun.

Jadi, sekiranya usia semakin lewat, mungkin anda perlu menyediakan sekurang-kurangnya 10 peratus pendahuluan bagi urusan mendapatkan pinjaman bank dan kadar faedah atau perlindungan meningkat seterusnya menjadikan ansuran bulanannya juga lebih tinggi.

PERLINDUNGAN KELUARGA
Jika anda sudah berkeluarga, hartanah yang anda beli boleh melindungi keluarga anda. Rumah tersebut akan menjadi tempat berteduh keluarga anda kerana pembelian rumah selalunya diserrakan dengan Takaful Gadai Janji (MRTT).

NILAI PENDAPATAN SEMAKIN MENYUSUT
jika mengikut keadaan ekonomi semasa dengan peningkatan harga barangan, petrol dan sebagainya, purata pendapatan yang tinggal setiap bulan semakin menurun. Perkara ini boleh memberi kesan terhadap pengiraan pihak bank terhadap kemampuan anda untuk membayar ansuran rumah.

Cabaran untuk pemilikan aset rumah atau hartanah sendiri akan lebih besar sekiranya anda masih menunggu ‘masa yang sesuai’ untuk membeli rumah.

Kadar kenaikan gaji juga hanya sekitar 2.0 peratus atau tiada kenaikan langsung berbanding peningkatan harga rumah 6.0 peratus setahun. Jika sekarang anda berfikir tidak mampu membeli rumah, pastinya di masa depan juga masih tidak mampu.

ELAK BERPINDAH-RANDAH
Proses pindah rumah adalah sesuatu yang memenatkan bukan? Jika anda masih menyewa, mesti anda perlu bersiap-sedia pada bila-bila masa sekiranya tuan rumah mahu anda mengosongkan rumah tersebut.

Walaupun anda sudah menyewa rumah tersebut selama berpuluh tahun dan tuan rumah juga memiliki rumah lain dan sudah tua, tidak mustahil dia mahu anda berpindah dari situ untuk membeli laluan anaknya yang sudah berkeluarga tinggal di situ.

Rumah sewa bukan hak milik kekal jadi hidup anda akan sentiasa berpindah-randah. Sekiranya anda mempunyai rumah sendiri, anda hanya perlu memikirkan untuk menyelenggara rumah anda dari semasa ke semasa sahaja.

BELI RUMAH DAHULU SEBELUM KERETA
Ramai golongan muda yang berlumba-lumba membeli kereta setelah bekerja dan ada juga yang membeli kereta mahal di luar kemampuan sendiri.

Langkah itu boleh menyebabkan anda sukar mendapat pinjaman rumah dari bank kerana anda sudah ada komitmen yang tinggi untuk membayar kereta.

Anda juga mengalami kerugian kerana kereta mempunyai susut nilai yang signifikan sejurus anda menandatangani dokumen jual beli. Jadi, membeli rumah adalah langkah yang lebih bijak dan sekiranya ada pulangan tunai barulah digunakan untuk membeli kereta.

HARGA RUMAH MAKIN MAHAL
Seperti yang anda sedia maklum, harga hartanah semakin mahal tahun demi tahun. Kadar peningkatan harganya boleh mencecah sehingga 20 ke 30 peratus setahun bergantung kepada lokasi.

Perkara ini anda boleh lihat sendiri dengan memeriksa harga semasa rumah orang tua anda. Misalnya orang tua anda sekarang tinggal di rumah teres setingkat di Kajang, Selangor. Jika anda bertanya berapakah harga rumah itu semasa dibeli 20 ke 30 tahun dahulu, mungkin hanya sekitar RM100,000. Cuba bandingkan dengan harga semasa, pasti harganya sudah mencecah RM200,000 ke atas.

Jika orang muda masih leka, suatu hari nanti pastinya lebih sukar untuk anda memiliki rumah atau tanah sendiri. Pastinya, anda juga yang rugi sedangkan ketika di usia muda anda boleh membuat keputusan membeli rumah dengan mengorbankan kemahuan lain yang tidak begitu penting. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya