MENAMPILKAN unsur Maghribi, Carabella yang merupakan fasa baharu di perbandaran pegangan bebas Setia Alamsari di Kajang dijangka menarik minat orang ramai dengan rekaan anggunnya apabila dilancarkan pada 3 Ogos ini.
Projek yang dibangunkan oleh S P Setia Bhd. (S P Setia) akan menawarkan 72 unit rumah berkembar dua tingkat yang bersambung dan akan dikelilingi oleh taman, landskap serta reka bentuk berkonsepkan Maghribi atau Moroccan.
Merangkumi antara 1,986 hingga 2,026 kaki persegi dengan keluasan tanah 32’x65’, unit-unit Carabella ditawarkan pada harga bermula dari RM960,000 hingga RM1.2 juta.
Carabella, yang terletak di atas kawasan pegangan bebas seluas 313.6 hektar di Kajang dijangka akan siap sepenuhnya pada suku ketiga 2026 dan juga merupakan sebahagian daripada Koleksi CASA.
Pengurus Besar Bahagian S P Setia, Koh Sooi Meng berkata, Carabella disasarkan kepada pembeli rumah yang merupakan penduduk dan pelabur di kawasan tadahan Kajang, Bangi, Semenyih, Cheras, Seremban, Nilai dan Sepang.
Katanya, pembangunan itu juga sesuai untuk mereka yang ingin tinggal berdekatan dengan bandar Kuala Lumpur.
“Unit Carabella yang luas dan bergaya ini adalah sesuai untuk golongan keluarga dan pasangan baharu.
“Penduduk unit ini akan menikmati pemandangan indah landskap dan taman berunsurkan Moroccan dari unit masing-masing,” katanya dalam kenyataan.
Unit-unit di Carabella juga akan dilengkapi dengan Setia e-Green living seperti kunci digital pintar untuk pintu utama, titik kuasa pengecasan kenderaan elektrik (EV), suis hijau dan sistem fotovoltaik solar (PV).
Setia Alamsari boleh diakses dengan lebuh raya utama seperti Lebuhraya KL-Seremban Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Penyuraian Kajang (SILK) dan Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS).
Selain itu, ia juga terhubung dengan Laluan Putrajaya Baharu, Lebuhraya Putrajaya Cyberjaya B15, Lembah Klang Selatan Lebuhraya (SKVE), Lebuhraya Cheras Kajang, Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).
Perbandaran ini juga berdekatan dengan lot-lot kedai Emporia (yang juga berada di Setia Alamsari), Masjid Baiturrahman at Setia Alamsari, Bangi Gateway, EVO Mall, Metro Kajang, Metro Point Kajang dan IOI City Mall. – UTUSAN