Berani, tidak putus asa dorong kejayaan OPU GO Entertainments - Utusan Malaysia

Berani, tidak putus asa dorong kejayaan OPU GO Entertainments

aida Radzi (tengah) bersama kakitangan OPU GO Entertainments yang sentiasa menjadi tulang belakang yang melicinkan operasi syarikat pengurusan acara miliknya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA sangka minat mendalam dalam perniagaan mengurus acara dan sikap selalu mencabar diri Aida Radzi membolehkan syarikat pengurusan acara, OPU GO Entertainments Sdn. Bhd. yang diusahakannya menjadi pilihan dalam pengendalian acara besar korporat dalam dan luar negara.

Beliau yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap pemilik OPU GO Entertainments berkata, idea menubuhkan sebuah syarikat pengurusan acara adalah bermula daripada minat beliau yang sememangnya cenderung dalam bidang pengurusan majlis.

Beliau berkata, pada mulanya, syarikat yang ditubuhkan itu hanya mengendalikan pengurusan acara kecil sahaja, namun selepas tujuh tahun, berkat sifatnya yang kuat bekerja dan usaha gigih pekerja-pekerjanya, syarikatnya itu mula mengendalikan pengurusan acara berskala besar.

“Selain pengurusan acara korporat bertaraf kementerian dan syarikat besar, syarikat kami juga pernah mengatur majlis bagi bahagian kesultanan dan diraja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, ketika syarikat mula ditubuhkan, beliau mengendalikan operasi syarikat bersama dua pekerja sahaja.

AIDA RADZI

“Pada waktu itu, saya mahu menjimatkan kos jadi saya juga turun padang membuat pemasaran dan mencari peluang yang ada untuk memperkembangkan syarikat serta meluaskan hubungan dengan pelanggan.

“Sebelum itu, syarikat kami selalu mendapat kontrak untuk pengurusan acara yang kecil, namun dalam masa yang sama kami yakin bahawa dengan keupayaan yang ada, mampu untuk melaksanakan acara yang lebih besar.

“Kemudian pada 2015, kami berkembang dengan 10 orang pekerja, dan dengan bilangan pekerja itu, syarikat mula mempunyai organisasi sendiri yang terbahagi kepada bahagian pengurusan, kreatif dan produksi serta bahagian penerbitan video-video korporat,” katanya.

Aida berkata, dia menggunakan 10 tahun pengalaman bekerja dengan syarikat-syarikat antarabangsa sebagai panduan bagi pengurusan syarikat.

“Daripada pengalaman tersebut saya banyak mempelajari asas kepimpinan yang cekap, sistem pengurusan efektif serta teknik pemasaran yang berkesan bagi menarik ramai pelanggan,” katanya.

Walaupun bermula dengan cemerlang, namun ketika gelombang Covid-19, beliau terpaksa memberhentikan beberapa pekerja demi mengurangkan kos syarikat, dalam masa sama permintaan terhadap perkhidmatan mengurus acara terus merudum.

aida Radzi (tengah) bersama kakitangan OPU GO Entertainments yang sentiasa menjadi tulang belakang yang melicinkan operasi syarikat pengurusan acara miliknya.

Ketika itu, syarikatnya mengalami banyak kerugian disebabkan pandemik namun beliau tetap cekal, memiliki keazaman yang tinggi, fokus dan tidak pernah berputus asa untuk mencapai sasaran terutamanya untuk melepasi pasaran antarabangsa.

Tahun ini, OPU GO Entertainments genap 15 tahun dalam industri pengurusan acara, dan syarikatnya telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa, iaitu Singapura dan Indonesia.

Beliau tidak mahu kejayaan yang dicapainya sekarang menjadikan dirinya terlalu selesa, justeru beliau terus mencabar diri agar OPU GO Entertainments sentiasa berkembang dari semasa ke semasa.

“Justeru, dari 2022 sehingga tahun ini, syarikat kami terus berusaha untuk mengembalikan prestasi keuntungan syarikat seperti yang dikecapi pada 2020 dan sebelumnya, ekoran daripada kerugian yang dialami sewaktu penularan Covid-19,” katanya.

Walaupun beliau merupakan pemilik kepada syarikat, namun Aida ingin menjadikan dirinya sebagai inspirasi kepada kakitangan yang lain untuk menepis rasa malu, dan berurusan terus dengan pelanggan bagi mengenal pasti secara terperinci kehendak pelanggan.

Untuk terus kekal relevan di industri, Aida akan memastikan beliau dan kakitangannya sentiasa mengikuti teknologi-teknologi dan trend-trend acara yang terkini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya