Bantu anak miliki rumah, bukan wariskan hutang - Utusan Malaysia

Bantu anak miliki rumah, bukan wariskan hutang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PINJAMAN dwi-generasi boleh dilihat daripada pelbagai sudut dan pastinya dapat memberi manfaat kepada sesetengah pihak, jika mekanisme atau kaedah yang digunakan adil kepada semua pihak.

Oleh itu, kedua-kedua generasi iaitu ibu bapa dan anak perlu berfikir panjang mengenai masa depan dan tuntutan kewangan yang diperlukan bagi membiayai pinjaman bank melibatkan pembelian hartanah yang dibuat.

Peguam Hartanah dari Tetuan Nazri Az­mi Islinda, Datuk Nazri Mustafa berkata, cara yang lebih sesuai adalah ibu bapa menjadi peminjam ber­sama di peringkat awal untuk membantu anak memiliki rumah sendiri.

Katanya, rumah tersebut dinamakan atas nama anak sahaja dan ibu bapa menjadi peminjam bersama.

Jelasnya, setelah tempoh tertentu, ibu bapa dilepaskan dari pada tanggungjawab membayar ansuran dan disambung oleh anak sahaja dan akhirnya rumah menjadi milik anak dan peminjam hanya anak tersebut seorang sahaja.

“Kaedah ini juga lebih adil kepada anak yang menjadi peminjam bersama. Kemudian ibu bapa boleh guna pakai cara ini kepada anak-anak lain yang perlukan bantuan ibu bapa ketika mula-mula hendak membeli rumah.

“Selain itu, kaedah ini dilihat lebih baik berbanding anak-anak yang dibawa bersama menjadi peminjam untuk melayakkan ibu bapa membeli rumah.

“Ia tidak menjadi masalah jika anak tersebut merupakan anak tunggal, tetapi jika ada waris lain, ia boleh menjadi pertikaian bila tiba waktu pembahagian harta setelah ibu bapa yang dinamakan sebagai pemilik, meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Nazri berpendapat, skim ini lebih sesuai untuk generasi awal membantu generasi kedua untuk memiliki rumah dan bukan sebaliknya.

Jelasnya, generasi kedua mempunyai perjalanan hidup yang masih panjang dalam kehidupannya dan usah dibebankan dengan komitmen kewangan di awal kerjaya mereka.

“Pelbagai insentif alternatif telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan untuk membantu golongan tertentu untuk memiliki rumah.

“Antaranya pengecualian duti setem dan kelayakan pembiayaan 100 peratus serta skim jaminan kredit perumahan. Insentif ini pun sudah amat membantu mengurangkan kos awalan untuk pemilikan rumah,” ujarnya.

Beliau berkata, jika kredibiliti anak ditumpangkan untuk membolehkan pemilikan hartanah oleh generasi pertama, ia boleh menjadi beban kepada generasi kedua yang baru hendak memulakan hidup dalam dunia realiti yang sebenar setelah habis belajar.

“Umumnya ramai anak muda lulusan institusi pengajian tinggi ada hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kemudian ditambah pula dengan hutang rumah yang belum pasti menjadi miliknya. Ini memberi tekanan kewangan kepada generasi kedua.

“Sebaliknya, jika generasi pertama ditumpangkan untuk membantu generasi kedua memiliki rumah, situasi berbeza dan boleh menjadi suatu usaha yang positif untuk generasi kedua,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Institut Pengurus Harta dan Fasiliti Malaysia (MIPFM), PMgr Sr Ishak Ismail berkata, manfaat pinjaman dwi-generasi adalah membolehkan kelulusan pinjaman lebih mudah diperoleh dise­babkan sokongan pendapatan kedua-dua generasi (ayah dan anak).

Katanya, anak yang masih muda mungkin ada kekangan dari segi tangga gaji dan had kelayakan pinjaman yang rendah tetapi tempoh bayaran balik mungkin lebih panjang disebabkan umur yang masih muda.

“Ayah yang mungkin bergaji tinggi pula tetapi had tempoh maksimum menyebabkan bayaran bulanan yang lebih tinggi dan margin pinjaman yang rendah.

“Namun begitu, kekurangan dalam skim ini adalah sekiranya berlaku kematian salah seorang peminjam, maka insuran masih tidak melindungi pinjaman tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata, pinjaman dwi-generasi perlu memberi fokus kepada kumpulan sasaran iaitu kumpulan B40 dan M40.

“Mereka yang memerlukan rumah tetapi tidak layak mendapat pinjaman disebabkan masalah gaji (golongan muda) atau tempoh bayaran pinjaman yang pendek (golongan dewasa atau warga emas),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya