PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) meluluskan pengagihan geran iTEKAD berjumlah RM1.67 juta kepada 334 usahawan mikro terpilih di negeri Pahang, baru-baru ini.
Setakat ini, program iTEKAD Bank Muamalat telah membantu 2,274 usahawan dengan agihan sebanyak RM20.6 juta.
Pemberian geran itu diperuntukkan oleh kerajaan bagi membantu peserta-peserta iTEKAD membeli aset untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Ia merupakan inisiatif holistik keusahawanan yang direka khas untuk usahawan mikro yang berpendapatan rendah melalui bantuan modal permulaan, latihan berstruktur serta pembiayaan mikro.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, pihaknya sentiasa menyokong usaha Bank Negara Malaysia (BNM) dan kerajaan dalam membantu usahawan mikro mengekalkan daya tahan perniagaan serta meningkatkan keupayaan untuk terus maju dan berkembang.
“Bank Muamalat komited untuk membantu usahawan mikro melangkah ke tahap yang lebih tinggi bagi menyokong agenda kerajaan dalam membina ekosistem keusahawanan yang menyeluruh dan kondusif.
“Melangkah ke hadapan, Bank Muamalat sedang meneroka peluang untuk bekerjasama dengan pihak ketiga seperti kerajaan negeri, koperasi, institusi pengajian tinggi dan lain-lain bagi meluaskan lagi akses program iTEKAD dan solusi komprehensif perniagaan Bank Muamalat kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Majlis penyerahan sijil geran iTEKAD Bank Muamalat kepada usahawan mikro terpilih itu telah diadakan di Karnival Celik Kewangan Pahang yang turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Rangkuman Kewangan, BNM, Nor Rafidz Nazri.
Selain itu, usahawan turut diberikan latihan pemasaran melalui platform atas talian e-dagang terpilih.
Menyahut seruan BNM untuk memperkasakan usahawan mikro melalui iTEKAD, Bank Muamalat turut memberi nilai tambah kepada usahawan yang menyertai program iTEKAD Bank Muamalat dengan menawarkan akses kepada fasiliti digital komprehensif bagi perusahaan kecil dan sederhana seperti terminal transaksi tanpa tunai e-POS dan penyediaan kod QR bagi menggalakkan pembayaran digital yang inklusif.
Untuk maklumat lanjut mengenai, program iTEKAD Bank Muamalat, layari laman sesawang www.muamalat.com.my atau kunjungi cawangan Bank Muamalat terdekat. – UTUSAN