PETALING JAYA: Syarikat perkhidmatan kereta sewa, Wahdah Technologies Sdn Bhd (WAHDAH) menyasarkan untuk mempelopori pasaran kereta sewa di kawasan Asia Tenggara yang lain selepas berjaya meluaskan pasaran Singapura dan Indonesia.
Ketua Pegawai Eksekutif WAHDAH, Muhd Raden Anwar berkata, sasaran itu bertepatan dengan pasaran mobiliti yang sedang berkembang pesat terutamanya dalam industri kereta sewa, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh Asia Tenggara.
Ujarnya, WAHDAH menyasarkan untuk menjadi salah satu pelopor utama syarikat yang berasaskan teknologi di dalam segmen kereta sewa di kawasan serantau dengan memasuki pasaran Thailand dan Filipina selepas ini.
“Buat masa ini, kami telah beroperasi di beberapa bandar besar yang menjadi tumpuan pelancong di Indonesia seperti Jakarta, Surabaya, dan Bali. Perluasan perniagaan di sana telah dikukuhkan lagi dengan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) bersama PT Domo Manajemen Grup (Doktor Mobil) sebagai rakan kongsi bengkel dengan kerjasama daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada awal Mei lalu.
“Kerjasama dengan salah satu rangkaian bengkel terbesar di Indonesia ini merupakan inisiatif WAHDAH untuk menyokong ekosistem bantuan jalan raya di sekitar negara tersebut bagi melancarkan operasi di sana,” katanya dalam kenyataan.
“Selain itu, kami juga akan terus mengukuhkan operasi di Malaysia selepas mencatatkan pertumbuhan yang baik, sebanyak 25 peratus berbanding tahun lalu dengan memperluaskan kedudukani di Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak serta sentiasa mencari pasaran baharu untuk ditembusi.
Beliau menambah, setakat ini telah WAHDAH telah membuka sembilan hub di seluruh negara iaitu di Johor Bahru, Pulau Pinang, Melaka, Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kuantan, Alor Setar, Langkawi dan Sabah yang berfungsi sebagai titik hubungan fizikal yang bercirikan 4S iaitu jualan, servis, alat ganti dan baik pulih.
“Kami juga telah mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan agensi pelancongan dan platform tempahan antarabangsa yang dipercayai seperti Klook dan Trip.com untuk memudahkan pelancong luar negara membuat tempahan.
“Dalam memastikan kami memanfaatkan potensi pasaran yang lebih luas, WAHDAH juga cuba untuk menfokuskan kepada syarikat korporat dari dalam dan luar negara yang memerlukan sewaan jangka masa panjang.
Dalam perkembangan lain, katanya, WAHDAH juga turut mempergiat melakukan beberapa inovasi yang berasaskan teknologi selaras dengan keperluan dan kehendak pasaran untuk menarik minat pelancong dan syarikat korporat global.
“Kami memberi perhatian penuh kepada beberapa inovasi dalaman dan luaran dalam rangka menaiktaraf pengalaman pelanggan sedia ada supaya visi jangka panjang untuk menjadi penyedia perkhidmatan sewa dan perkongsian kereta bertaraf dunia tercapai.
Setakat ini, WAHDAH telah berjaya membangunkan aplikasi mudah alih, DRIVE yang memudahkan proses tempahan dan pengurusan sewa kereta yang mana kini berada dalam tempoh percubaan.
Jelasnya, pelaksanakan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) dan analitik data untuk meningkatkan kecekapan operasi dan memahami keperluan pelanggan dengan lebih baik sentiasa menjadi keutamaan syarikat untuk terus berdaya saing. – UTUSAN