Tempe Ujang sasar masuk pasar raya besar - Utusan Malaysia

Tempe Ujang sasar masuk pasar raya besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tempe Ujang menyasarkan meningkatkan lagi jualannya dengan menembusi pasaran pasar raya besar apabila menerima pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak lama lagi.

Bercakap kepada Utusan, pengasasnya, Mohd Shahaini Ahmad, 59, berkata, produk tempe yang dikeluarkan di rumah, di Seremban, Negeri Sembilan kini dalam proses akhir untuk mendapatkan pensijilan halal itu.

Katanya, pihaknya kini mengeluarkan kira-kira 12,000 tempe sebulan yang dipasarkan di pasar raya, kedai runcit, kilang dan kedai makan di sekitar Seremban.

“Saya sudah berjumpa dengan pihak pasar raya besar dan mereka juga berminat untuk memasarkan produk kami. Cuma perlu menunggu untuk mempunyai pensijilan halal daripada Jakim.

“Kami sudah memohon sijil halal sejak awal tahun lalu. Kemudian telah mengikuti kursus serta pegawai Jakim turut datang membuat pemeriksaan di rumah kami yang mana produk ini dihasilkan.

“Mereka terkejut juga sebab ini katanya yang pertama produk yang memohon sijil halal dihasilkan di rumah. Tetapi mereka berpuas hati dengan cara penyediaan kami dan sijil tersebut dijangka diperoleh tidak lama lagi,” katanya.

Mohd Shahaini berkata, dia berharap dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 15,000 sebulan setelah mendapat pensijilan halal tersebut boleh mengembangkan kepada pasaran yang lebih meluas lagi.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, dia memulakan perniagaan tersebut dengan modal kira-kira RM200 pada 2012 setelah berhenti kerja sebagai pegawai kanan penyajian sebuah syarikat penerbangan kerana masalah kesihatan.

“Anak saya pun masih kecil masa itu, jadi saya perlu mencari punca pendapatan untuk menyara keluarga.

“Biasanya tempe ini disediakan oleh orang Jawa dan tidak ada orang Melayu yang buat. Jadi saya terpanggil untuk mencuba, mencari resepi dan menghasilkan tempe sendiri.

“Pada permulaan memang tak menjadi. Kami ambil masa beberapa bulan juga untuk menghasilkan tempe yang baik dan boleh dijual seperti sekarang ini,” ujarnya.

Tambahnya, dia berhasrat untuk menambah lagi produk termasuk sambal kering tempe yang sudah mula dijual secara kecil-kecilan ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya