JIKA diperhatikan, semakin banyak rumah bertingkat tinggi seperti apartmen dan kondominium kini dibina tanpa ruang balkoni walaupun tidak dinafikan ia merupakan antara keutamaan yang dicari bakal pembeli.
Ini kerana, ruang balkoni tersebut boleh mengurangkan rasa ‘lemas’ penghuni apabila berada di rumah bertingkat dan ia juga membantu dari segi pengudaraan dan pencahayaan kediaman.
Perkara ini menjadi persoalan, adakah balkoni sudah tidak diperlukan kerana dianggap ruang yang jarang digunakan atau pemaju mahu mengurangkan kos pembinaan dengan menyingkirkan ruang tersebut.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah Bumiputera Selangor, Mohammad Sahar Mat Din berkata, pemaju mungkin membina rumah tanpa balkoni untuk menjimatkan kos.
Ujarnya, jika dibandingkan perumahan yang mempunyai balkoni, harga rumah turut dipengaruhi keluasan dalaman rumah yang termasuk dengan kaki persegi keluasan balkoni.
“Minimum kos yang diperlukan untuk pembinaan balkoni bagi seunit rumah, misalnya yang berkeluasan 20 kaki persegi sekurang–kurangnya berjumlah RM10,000.
“Kos pembinaan balkoni tersebut mempengaruhi peningkatan harga rumah, yang secara tidak langsung menyukarkan orang ramai untuk memiliki rumah sendiri.
“Jadi, pembinaan rumah tanpa balkoni merupakan alternatif kepada pemaju dalam menawarkan rumah yang lebih kos efektif,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dari segi aspek estetik, katanya, terdapat reka bentuk kediaman tanpa balkoni tertamanya perumahan urban yang mengetengahkan konsep penggunaan tingkap tingkap kaca besar kalis haba dan tahan terhadap cuaca.
“Penggunaan konsep seperti ini pada masa sekarang masih kekal mengutamakan pengudaraan yang lancar dalam rumah dengan pembinaan siling yang lebih tinggi dan dalam masa yang sama penghuni masih dapat menikmati pemandangan dari rumah.
Sementara itu, perunding hartanah, Amrillah Najmin berkata, kebanyakan pembeli terutamanya golongan muda yang tinggal bersendirian kurang menggunakan ruang balkoni dan tidak menganggap ia satu ruang yang penting dalam pemilikan rumah.
“Memandangkan gaya hidup mereka yang sibuk dengan pekerjaan, kebanyakan ruangan yang selalu digunakan di unit kediaman mereka lebih kepada bilik tidur, ruang tamu dan bilik air.
“Penyelenggaran balkoni juga diperlukan bergantung dengan bahan yang digunakan oleh pemaju seperti penggunaan besi yang perlu ditukar bagi mengekalkan keselamatan penghuni.
“Justeru, ketiadaan balkoni tidak menjadi masalah dan mungkin mereka juga mahu mengurangkan kemasukan debu atau kotoran dari luar dan tiada masa untuk mengelenggara ruang terbuka itu.
Dalam pada itu, katanya, dengan mengambil kira aspek keselamatan pula, perumahan tanpa balkoni adalah lebih bersesuaian bagi mereka yang mempunyai anak kecil yang masih dalam pengawasan orang dewasa.
“Justeru pembinaan perumahan tanpa balkoni adalah bagi mengurangkan kes, yang mana sebelum ini sering kita dengari orang jatuh dari balkoni, terutamanya kanak-kanak disebabkan kecuaian,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, terdapat pihak pengurusan rumah bertingkat yang melarang penghuni menyidai pakaian di ruang balkoni kerana ia akan ‘mencacatkan’ pemandangan terutamanya orang ramai yang melihat dari luar.
“Keadaan itu sebenarnya boleh menjejaskan nilai hartanah perumahan tersebut kerana ruang balkoni yang nampak serabut dan tidak kemas tidak menggambarkan perumahan yang eksklusif.
“Jadi, pemaju yang tidak mahu mengambil risiko perkara itu terjadi telah memilih untuk membina rumah bertingkat tanpa balkoni namun menggantikannya dengan dinding kaca bagi memberikan lebih pencahayaan,” katanya. – UTUSAN