Pensijilan halal bantu Beeqeh tingkat jualan, pelanggan baharu - Utusan Malaysia

Pensijilan halal bantu Beeqeh tingkat jualan, pelanggan baharu

K. VIJAYA Thaamarrai menunjukkan produk Beeqeh yang disediakan dengan empat pilihan yang telah memperoleh pensijilan halal Jakim.-FOTO/Muhamad Nazreen Syah Musthafa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Permintaan terhadap snek kacang putih dan muruku yang dikenali dengan jenama ‘Beeqeh’ semakin meningkat selepas memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pengasas Syarikat Leo Snack and Nuts Industry, K. Vijaya Thaamarrai, 34, berkata, pensijilan halal yang diperoleh pada tahun 2022 itu berjaya memacu peningkatan jualan sehingga 40 peratus.

Malah katanya, ia juga merekodkan pertambahan pelanggan baharu terutama dalam kalangan orang Islam.

“Pelanggan utama kami adalah orang Melayu dan sebelum ini memang kami sering ditanya berkaitan status halal walaupun untuk produk kacang putih dan muruku.

“Jadi, apabila saya mula mengambil alih perniagaan keluarga pada 2018, saya melihat bahawa isu halal ini adalah perkara penting dalam memberi keyakinan kepada pelanggan supaya mereka tidak berasa ragu-ragu untuk membeli.

“Oleh itu, bermula pada tahun 2020 usaha untuk mendapatkan sijil halal digerakkan dan selepas mematuhi semua garis panduan serta piawaian yang ditetapkan, ia berjaya diperoleh pada 2022,” katanya di sini hari ini.

Menurut Vijaya Thaamarrai, menerusi sijil halal itu juga, produk Beeqeh yang disediakan dengan empat pilihan iaitu ‘jumbo mix, pakoda, muruku mixer dan sival’ lebih mudah memasuki pasaran.

Katanya, selain menyertai pelbagai ekspo dan dijual secara dalam talian, Beeqeh juga kini boleh didapati di stesen minyak terpilih.

“Selain itu, Beeqeh juga kini boleh diperoleh di Paragon Cinemas cawangan Alor Setar, Taiping, Kuala Terengganu dan Batu Pahat.

“Impian saya sangat besar untuk Beeqeh. Sekarang ini pun kita sudah hantar sampel Beeqeh ke beberapa negara dan menunggu maklum balas daripada mereka.

“Sekiranya ada rezeki, Beeqeh akan merentasi pasaran antarabangsa sekali gus membantu komuniti pengusaha kacang putih di Buntong dari segi pengeluaran berskala besar,” katanya yang menggunakan nama Beeqeh sempena nama bapanya, B.K. Kumar. – UTUSAN

Caption

K. VIJAYA Thaamarrai menunjukkan produk Beeqeh yang disediakan dengan empat pilihan yang telah memperoleh pensijilan halal Jakim.-FOTO/Muhamad Nazreen Syah Musthafa

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya