MEMASUKI usia 100 tahun, minyak urut keluaran Syarikat Minyak Afiat Sdn. Bhd. (Afiat) kekal bertahan sehingga kini.
Bermula secara kecil-kecilan, produk diasaskan oleh Panjang Kamaruddin Abbas pada 1924 itu berkembang apabila dimajukan secara komersil oleh Khalid Uda Ismail.
Dari jualan di kaki lima, produk keluaran Bumiputera itu terus dikenali masyarakat sehingga kebanyakan rumah di negara ini pasti menyimpan sebotol Minyak Afiat untuk kegunaan harian.
Pengurus Besar Afiat, Abdul Raof Ahmad Zakaria berkata, sejarah panjang dimiliki Afiat menyaksikan pelbagai cabaran dan dugaan yang dihadapi bagi memastikan produk berasaskan kesihatan itu kekal relevan hingga kini.
Malah sebagai generasi keempat Afiat, Abdul Raof, 44, mengakui, bukanlah satu tugas mudah untuknya mengemudi perniagaan keluarga yang bertapak sejak sekian lama.
Lebih-lebih lagi katanya, dalam usaha memastikan perusahaan tersebut terus berkembang dan bertahan dalam pasaran.
“Saya menyertai Afiat pada tahun 2002 dan sebagai generasi baru, saya melihat sendiri jerih perih datuk (Khalid Uda) dan bapa (Ahmad Zakaria Khalid) mengurus perusahaan ini.
“Daripada penghasilan minyak di belakang rumah di Tambun, Afiat terus mengorak langkah sehinggalah berjaya memiliki kilang sendiri di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar,” katanya di sini hari ini.
Menurut Abdul Raof, kemampuan Afiat bertahan sehingga kini kerana ia dihasilkan menggunakan daun-daun berkhasiat yang sesuai untuk sistem badan manusia termasuk melegakan lenguh-lenguh badan.
“Apa yang membezakan Afiat dengan produk lain ialah kita menggunakan tumbuhan semula jadi sebagai ramuan utama.
“Kita tidak ambil daun sebarangan, hanya daun-daun berkhasiat sahaja yang diadun bersama minyak kelapa yang benar-benar berkualiti di mana pembekalnya sendiri memiliki sijil Halal.
“Jika orang kata minyak urut Afiat ini tidak mujarab dan memberi kesan tidak baik kepada tubuh manusia, saya tidak rasa Afiat mampu bertahan sehingga satu abad,” katanya.
Abdul Raof berkata, walaupun Afiat kini berada di liga sendiri, ia tidak menjamin produk itu selamat daripada kegiatan ‘cetak rompak’ pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, dua syarikat telah dikenal pasti menggunakan jenama, label, warna dan identiti pembungkusan yang hampir sama dengan produk yang telah berada dalam pasaran sejak 100 tahun lalu.
“Bila jenama kita diplagiat, itu bermakna produk keluaran syarikat mendapat perhatian pengguna. Jadi, untuk meraih untung, mereka tiru produk kita hingga menyebabkan pengguna keliru.
“Di sini pentingnya kita mendaftar perniagaan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi mengelakkan kecurian hak cipta produk keluaran masing-masing,” katanya.
Sementara itu, ditanya perancangan Afiat, Abdul Raof berkata, pihaknya menyasarkan untuk menjadi peneraju produk berasas tradisional dan farmaseutikal sebaris dengan Tiger Balm dan Minyak Cap Kapak.
Katanya, dia juga berhasrat meletakkan Afiat sebagai produk yang perlu dimiliki setiap keluarga.
“Selain mahu menjadikan Kuala Kangsar sebagai daerah Afiat, kita juga meletak sasaran untuk Afiat menembusi pasaran luar negara iaitu Vietnam dalam tempoh dua hingga ke lima tahun.
“Negara itu mempunyai potensi pasaran yang boleh dikembangkan ekoran permintaan tinggi terhadap produk Halal.
“Setakat ini, produk Afiat telah berada di pasaran Singapura sejak enam tahun lalu. Bagi pasaran negara itu, kita hanya membawa masuk Minyak Afiat dan Minyak Hangat Afiat.
“Perbincangan sedang dilakukan dengan wakil di sana (Vietnam) untuk kita bertapak di negara itu. Kita sasarkan produk Afiat akan menembusi pasaran negara tersebut dalam beberapa tahun lagi,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai sasaran jualan, Abdul Raof berkata, pihaknya optimis untuk mencapai transaksi jualan lebih RM6 juta bagi keseluruhan produknya tahun ini. – UTUSAN