Kos caruman rendah mampu stabilkan harga rumah - Utusan Malaysia

Kos caruman rendah mampu stabilkan harga rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOS caruman yang dikenakan kepada pemaju hartanah dalam pelbagai bentuk cukai dan fi yang meningkat telah memberi kesan kepada harga rumah serta menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemain industri dan pakar.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan M K Land Holdings Berhad, Ahmad Soalahuddin Al-Thani Ahmad Termizi berkata, ia memberi kerisauan kepada pemaju hartanah, yang seterusnya mempengaruhi harga rumah di pasaran.

“Ini kerana kos dan harga rumah akan meningkat dan secara tidak langsung setiap agensi akan mengenakan caj bagi kos caruman sendiri tanpa melakukan perbandingan sehingga me­nyebabkan tiada ka­walan secara kese­lu­ruhan.

“Kesan langsung yang dilihat disebabkan peningkatan itu adalah peningkatan kos, harga jualan dan pengurangan kadar keuntungan projek,” katanya.

Jelas beliau, kerajaan perlu menilai semula semua kos caruman dan pematuhan tersebut bagi membantu menurunkan dan menstabilkan harga rumah di Malaysia.

“Apabila kerajaan mengurangkan beban kewangan yang dikenakan ke atas kami, kos pembangunan hartanah akan menjadi lebih rendah, seterusnya membolehkan pemaju menjual rumah pada harga yang lebih berpatutan.

“Langkah ini bukan sahaja akan membantu meningkatkan kemampuan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia, tetapi supaya harga rumah tidak terus naik sehingga di luar kemampuan kebanyakan rakyat Malaysia,” katanya.

Selain itu, Perunding Kanan Hartanah, Gudrotullah Bijarto @ Ikhwan berpendapat, setiap yang melibatkan peningkatan kos secara langsung seperti kos-kos caruman semestinya akan membawa kepada kenaikan harga kos rumah.

“Secara dasarnya, harga rumah itu sendiri secara purata mempunyai julat kenaikan pada kadar dua peratus tahunan.

“Oleh itu, jika tiada inisiatif atau bantuan sebarang insentif daripada kerajaan, ma­ka ia akan memberi kesan yang lebih atas kenaikan harga rumah.

Menurutnya, perkara yang dihadapi di negara ini adalah lebihan unit yang tidak terjual, dijual pada harga di luar kemampuan kebanyakan rakyat Malaysia.

“Ini terjadi pada hartanah yang berharga RM1 juta dan ke atas. Dengan harga sekarang ini sahaja rata-rata kemampuan untuk membeli rumah pertama adalah pada kadar RM300,000 untuk perumahan tinggi atau RM500,000 untuk rumah bertanah,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pihak kerajaan pusat melalui kementerian yang berkaitan perlu menetapkan kenaikan yang berkenaan mesti mendapat kelulusan mereka bagi mengekang kenaikan secara berleluasa.

“Menurut kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, kadar hutang isi rumah di negara secara agregatnya menunjukkan trend peningkatan saban tahun sejak 2018.

“Bagi tempoh 2018 hingga 2023, purata pertumbuhan tahunan hutang isi rumah adalah 5.1 peratus.

“Mengikut jenis pembiayaan, bahagian terbesar hutang isi rumah ialah pinjaman perumahan, merangkumi 60.5 peratus daripada hutang isi rumah, diikuti oleh pinjaman kenderaan (13.2 peratus), pembiayaan peribadi (12.6 peratus),” katanya.

Aimi Zulhazmi berpandangan, kerajaan perlu mempunyai pelan strategik untuk mengekang kenaikan yang terus berganda.

“Mungkin kerajaan perlu mengawal projek perumahan di bawah RM1 juta supaya caj dan caruman tidak dinaikkan sewenang-wenangnya oleh semua agensi kerajaan dan badan berkanun yang berkenaan.

“Ini akan membantu menstabilkan kos para pemaju yang harus menghadapi cabaran kenaikan harga barang mentah yang dipengaruhi oleh faktor-faktor global seperti besi dan simen,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya