Kek Molek luaskan produk halal ke seluruh negara - Utusan Malaysia

Kek Molek luaskan produk halal ke seluruh negara

Shalkina Kamal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jenama perniagaan kek dan manisan, Kek Molek, nekad memperkembangkan keluaran kek berkualiti yang diiktiraf halal ke seluruh Malaysia.

Pengasas Kek Molek, Shalkina Kamal, 43, berkata, permintaan terhadap Kek Molek semakin meningkat dari semasa ke semasa sejak perniagaan mereka dijalankan secara dalam talian.

Menurutnya, perusahaan Kek Molek itu juga mendapat permintaan tinggi dari Sabah, Sarawak, negeri-negeri Pantai Timur dan Singapura.

“Namun, saya tidak mahu mengambil risiko kerana risau kualiti terhadap kek yang dihasilkan mungkin tidak dapat dikekalkan, malah kami tidak meletakkan bahan pengawet.

“Walaupun begitu, kami turut mengambil kesempatan untuk terus memperkenalkan jenama Kek Molek dengan membuka kiosk di mana-mana acara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, beliau bersama kumpulannya menggunakan strategi penjualan tersebut yang bukan setakat dalam talian sahaja kerana, tidak semua rakyat di negara ini yang mungkin menyedari wujudnya perusahaan Kek Molek yang menjual kek tradisional tempatan.

“Hasil daripada kaedah jualan yang pelbagai, perniagaan semakin berkembang.

“Setakat ini kami mengutamakan penghantaran bagi pelanggan terdekat dari sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Terdapat juga penggemar kek sarang semut Kek Molek dari Sabah dan Sarawak yang sanggup datang ke Semenanjung semata-mata ingin membelinya,” ujarnya.

Susulan itu, katanya, beliau berusaha untuk menambah baik proses penghasilan kek sarang semut dan juga kaedah pembungkusan yang boleh menjamin kualiti kek lebih tahan lama.

Beliau menambah, rekaan lukisan pada kotak pembungkusan Kek Molek yang digunakan sejak empat tahun lalu juga bakal ditukar namun masih mengekalkan konsep tema Malaysia.

“Sebelum ini, kami mengetengahkan tema permainan tradisional dan mercu tanda Malaysia pada kotak pembungkusan Kek Molek,” ujarnya.

Dalam pada itu, melihat perkembangan perniagaan jenama Kek Molek, siapa sangka perniagaan manisan secara kecil-kecilan semata-mata untuk membuang rasa bosan seorang suri rumah kini berjaya meraih hasil lumayan.

“Sebelum wujudnya perniagaan yang dinamakan Kek Molek ini, saya hanya menjual brownies bagi masa lapang sahaja.

“Namun, saya menyedari jika terlalu mengikuti trend semasa permintaan daripada pelanggan, maka terpaksa bersaing dengan peniaga lain.

“Memandangkan saya juga mempunyai kemahiran membuat kek tempatan, jadi tercetuslah idea membuat kek sarang semut,” kata beliau.

Katanya, beliau kemudian menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap kek sarang semutnya ekoran ada kalanya yang didapati di pasaran, terlebih manis dan penggunaan resepi yang tidak menepati ciri pembuatan kek sarang semut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya