PETALING JAYA: Rangkaian jenama kopi terkemuka Korea Selatan, Ediya Coffee melebarkan sayapnya ke pasaran Malaysia menerusi langkah strategik pemeteraian perjanjian francais.
Jenama itu juga mahu memperkukuh kedudukan di pasaran tempatan dengan berusaha mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ketua Pegawai Eksekutif Ediya Coffee Malaysia, Mohd Hafiz Ab Rahim, berkata, dengan pemeteraian perjanjian tersebut, dijangka dapat mewujudkan sekurang-kurangnya 2,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang.
Menurutnya, perkara itu sekali gus dapat menawarkan latihan kemahiran dalam pembangunan kerjaya dalam sektor hospitaliti dan peruncitan.
“Model francais Ediya Coffee menggalakkan keusahawanan melalui kerjasama dengan pemilik perniagaan tempatan dan memberi sokongan sepenuhnya kepada usahawan muda untuk menguruskan kedai mengikut gaya mereka yang tersendiri.
“Inisiatif ini tidak hanya membantu mengembangkan kreativiti dan inovasi malah turut membuka peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis pemeteraian perjanjian tersebut di sini, baru-baru ini.
Tambah beliau, jenama tersebut turut menyasarkan pembukaan kedai pertamanya di Lembah Klang menjelang suku Keempat 2024 dan optimis dapat menubuhkan 200 kedai dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Ediya Coffee akan memperkenalkan variasi produk eksklusif pelbagai perisa yang direka khas bersesuaian dengan cita rasa dan budaya Malaysia apabila kedai pertama di Lembah Kelang beroperasi kelak.
“Ia pastinya kombinasi yang menarik dan memberikan pengalaman berharga serta memuaskan untuk selera tempatan,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Mohd Hafiz berkata, usaha tersebut membuktikan komitmen syarikat dalam memperkayakan budaya kopi merentasi sempadan dan mempromosi keindahan seni kopi kepada para penggemarnya.
Katanya, Ediya Coffee sangat komited dalam memastikan rantaian bekalan sentiasa konsisten dan berkualiti dengan jalinan kerjasama beberapa pemain rantaian bekalan dan gudang terbesar di Malaysia.
“Kerjasama dengan pemain rantaian bekalan yang memiliki infrastruktur kukuh adalah kritikal dalam memastikan produk kami sampai kepada pelanggan dengan cepat dan dengan kualiti terbaik.
“Malah, dalam mengawal kualiti produk, kami berhasrat untuk membina dapur pusat berperanan mengawal ketat piawaian kualiti selain menjadi pusat latihan kepada kakitangan dalam penyediaan produk terbaik kepada para pelanggan,” katanya. – UTUSAN