BERMULA sekadar hobi bagi menghasilkan barangan kraftangan, siapa sangka Maizatul Akmar Mat Nasir, 34, kini mampu memiliki perusahaan sendiri untuk memasarkan pelbagai barangan cenderahati yang dihasilkannya.
Selain mengeluarkan produk kraf tangan dan cenderahati unik, Maizatul turut menawarkan perkhidmatan penghantaran kejutan buat pelanggan khususnya di sekitar Perlis.
Di samping itu, terdapat juga pelbagai produk lain dipasarkan di kedai Aqma Craft miliknya di Taman Indera, Perlis antaranya seperti bunga segar, bunga plastik, bunga awet, bunga kait dan bantal unik berbentuk burung hantu yang menjadi jualan utama keluaran kedai berkenaan sejak beberapa tahun lalu.
Maizatul berkata, dia memulakan perniagaan pada 2018 dan sejak itu, perusahaannya semakin berkembang dengan mendapat sambutan baik dalam kalangan pelanggan.
“Saya memang minat kraf tangan sejak belajar di universiti lagi dan bertitik tolak dari situ, saya mula menceburi bidang ini secara lebih serius.
“Pada mulanya, saya hanya hasilkan kraf tangan secara suka-suka namun lama kelamaan, rakan-rakan mula membuat tempahan seperti kerongsang, tote bag dan pelbagai lagi.
“Selepas itu, dengan modal RM10, saya memulakan perniagaan ini dan lama kelamaan ia semakin berkembang sehinggakan mampu mempunyai kedai sendiri,” katanya.
Menceritakan lebih lanjut, Maizatul berkata, antara barangan yang mendapat permintaan tinggi di kedainya itu adalah bantal berbentuk burung hantu yang dihasilkan dengan pelbagai saiz dan bentuk menarik.
Katanya, dia juga tidak menyangka bantal tersebut akan mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai yang tertarik dengan reka bentuk dan coraknya.
“Pada mulanya, saya tidak sangka bantal ini akan dapat permintaan tinggi namun lama kelamaan semakin ramai pelanggan yang datang berminat untuk mendapatkan bantal ini,” katanya.
Dalam pada itu, Maizatul yang juga merupakan graduan Ijazah Sains Kemanusiaan berkata, dia memasarkan barangan kraf dan cenderahati di kedainya itu bermula pada harga serendah RM2.50 sehingga mencecah ratusan ringgit bergantung kepada permintaan pelanggan.
Katanya, pihaknya turut menawarkan perkhidmatan percetakan gambar pada tumbler, bantal dan beberapa barangan lain dalam mempelbagaikan lagi pilihan buat pelanggan mereka.
“Permintaan bagi produk kraf dan cenderahati ini juga adalah bermusim dan bergantung kepada sambutan tertentu seperti Hari Guru, Hari Ibu, Hari Bapa dan pelbagai lagi,” katanya.
Tambah Maizatul, produk yang dihasilkannya itu turut mendapat permintaan daripada pelanggan luar negara antaranya Singapura, Brunei dan Indonesia.
Ujar anak kelahiran Alor Sena ini, dia sentiasa memenuhi permintaan pelanggan bagi memastikan mereka berpuas hati dan mendapat perkhidmatan terbaik.
Di samping itu, Maizatul berkata, dia juga mampu meraih pendapatan kasar sekitar RM10,000 hingga RM15,000 sebulan bagi memasarkan produk-produk kraf dan cenderahati dihasilkannya itu.
Dalam usaha untuk mengukuhkan lagi perniagaannya, Maizatul berkata, dia turut mendapatkan latihan daripada Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang membantu dalam memberikan bimbingan serta bantuan peralatan.
“Latihan disediakan oleh NCER ini sememangnya banyak membantu dan daripada situ saya dapat mendalami selok belok perniagaan secara lebih serius,” katanya.
Buat masa ini, Maizatul berkata, dia mempunyai seramai tiga pekerja tetap namun akan menambah kakitangan sambilan mengikut tempahan diterima daripada pelanggan.
Ujarnya, kedai miliknya itu juga beroperasi pada setiap hari kecuali cuti umum bermula pukul 9 pagi sehingga 6 petang.
“Kami juga banyak melakukan promosi melalui Facebook Aqma Craft dalam mempromosikan lebih banyak produk kraf dan cenderahati ini kepada pelanggan kami,” katanya.