RUMAH tanpa balkoni sebelum ini mungkin membantutkan niat sesetengah pembeli rumah kerana mereka mahukan satu ruang pengudaraan yang cukup selain mahu menikmati pemandangan dari tingkat tinggi seperti pemandangan ibu kota dan sebagainya.
Namun, seiring waktu, lebih banyak projek perumahan bertingkat tinggi yang dibina tanpa balkoni dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk keselamatan dan kos.
Walaupun begitu, kita dapat lihat trend pembeli masa kini yang tidak menganggap ia satu kekurangan malah terdapat di antara mereka yang lebih cenderung memilih rumah tanpa balkoni.
Menurut pencipta kandungan, Alwani A. Bakar, 25, berkata, masanya lebih banyak dihabiskan di luar berbanding di dalam rumah, tambahan beliau yang suka melakukan aktiviti lasak dan jarang berada di rumah.
Justeru katanya, dia lebih memilih rumah tanpa balkoni kerana keselamatan terjamin dan rumah lebih terjaga sekiranya dia berada di luar kawasan untuk tempoh yang panjang.
“Kita sering mendengar berlaku kes kecurian di apartmen ekoran pintu gelangsar yang selalu digunakan sebagai penghadang antara ruang tamu dan balkoni mudah untuk dipecah masuk.
“Tambahan pula, rumah yang mempunyai balkoni mudah dimasuki debu dan habuk dari luar. Disebabkan itu, saya lebih memilih rumah tanpa balkoni kerana saya tidak mahu rumah cepat kotor,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, kakitangan syarikat swasta, Molly Aru, 35, berkata, pembelian apartment tanpa balkoni adalah lebih bersesuaian bagi mereka yang lebih gemarkan dekorasi dalaman termasuk dirinya, dengan memastikan setiap ruang rumah dapat dimanfaatkan selalu dalam rutin harian penghuni.
“Apartmen tanpa balkoni biasanya mempunyai ruang dalaman yang lebih luas kerana tidak ada kawasan yang diperuntukkan untuk balkoni, membolehkan susun atur perabot yang lebih fleksibel.
“Ia juga lebih menjaga privasi penghuni yang berada di rumah tersebut dengan adanya penggunaan tingkap berkaca untuk bangunan tinggi yang dapat mengurangkan gangguan bunyi bising,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hakim Mahari, 24, berkata, dia lebih memilih rumah yang mempunyai balkoni kerana mahu pengudaraan rumah yang lebih baik.
“Jika rumah tiada balkoni, saya rasa seolah-olah ‘terperangkap’ di dalam rumah tambahan pula pencahayaan juga mungkin kurang kerana terdapat juga projek perumahan tanpa balkoni yang hanya memberikan tingkap separuh sahaja sebagai ganti balkoni.
“Saya juga lebih gemar bersantai di ruang balkoni dan mengambil angin malam. Ruang itu juga boleh digunakan sebagai ruang hijau untuk pelbagai jenis tanaman dan pokok bunga bagi mencantikkan lagi rumah,” ujarnya. – UTUSAN