Sijil halal yakinkan pelanggan beli biskut kelapa tradisi Mak Yati - Utusan Malaysia

Sijil halal yakinkan pelanggan beli biskut kelapa tradisi Mak Yati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pensijilan halal yang diterima Bahagian Pengurusan halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (Jheains) sejak Ogos 2023 memberi keyakinan kepada pelanggan yang terdiri daripada 98 peratus kaum bumiputera untuk membeli biskut kelapa Mak Yati.

Pengurus The All Moments Global Sdn. Bhd., Abdul Hanif Hussain, 47, berkata, sebagai pembuat kuih berstatus bumiputera Islam, status halal tidak menjadi isu.

“Namun, ada dalam kalangan pelanggan kami yang sangat teruja dan yakin dengan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang telah kami perolehi.

“Kami menghasilkan produk yang halal toyyiban, patuh kepada kehendak prosedur kebersihan yang ditetapkan oleh agensi dan dengan adanya sijil halal ini akan dapat meningkat jualan produk kami.

“Alhamdulillah, kini, terdapat peningkatan jualan antara 10 hingga 12 peratus selepas mendapat sijil halal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Biskut kelapa Mak Yati yang dimulakan sejak tujuh tahun lalu beroperasi di Kampung Sri Lalang, Rantau, Negeri Sembilan dan mempunyai lapan orang kakitangan.

Menurut Abdul Hanif, keunikan biskut kelapa keluarannya kerana menggunakan kelapa kampung yang ditanam sendiri, seterusnya diproses sehingga menjadi kelapa kering.

“Kami menggunakan tepung yang digoreng atau sangai seperti orang dulu-dulu dan menjemur tepung terlebih dahulu sebelum diadun. Setiap bulan purata jualan kami sehingga 400 bekas dan apabila musim perayaaan jualan sehingga 10,000 ke 12,000 bekas,” katanya.

Biskut kelapa ini dijual dengan harga RM20 (360 gram) satu bekas tersebut boleh didapati dalam platform atas talian, shoppe, secara jualan pukal dan jualan terus ke seluruh Malaysia.

Abdul Hanif turut menasihatkan kepada usahawan lain agar merebut peluang untuk mendapatkan pensijilan kotej halal Jheains.

“Usahawan akan dibimbing oleh pegawai berkaitan dan turut dibantu dari segi kewangan untuk penambah baikan.

“Jika dibuat secara sendirian, memang agak sukar dan memerlukan kos yang tinggi kerana perlu melantik orang ketiga (konsultan) untuk urusan pensijilan halal ini dan yang paling penting, keyakinan pengguna dengan produk yang dihasilkan adalah halal tanpa keraguan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya