Pelaburan unit kedai dianggap lebih berisiko - Utusan Malaysia

Pelaburan unit kedai dianggap lebih berisiko

UNIT kedai dianggap pelaburan yang berisiko oleh segelintir pihak. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGELINTIR kaum bumiputera beranggapan pelaburan dalam unit kedai lebih berisiko berbanding hartanah perumahan justeru tidak menyakinkan mereka bahawa ia satu pelaburan jangka panjang yang baik.

Pekerja swasta, Syafiq Shafiee berkata, penurunan permintaan daripada penyewa untuk unit kedai merupakan salah satu petunjuk jelas.

“Banyak iklan yang dipaparkan oleh pemilik sedia ada yang menunjukkan keinginan untuk menjual atau menyewakan unit kedai mereka sehingga menyebabkan saya bimbang dengan risiko yang besar yang mungkin dihadapi sebagai pelabur.

“Peniaga atau usahawan masa kini lebih cenderung untuk menjalankan perniagaan tanpa kos sewa yang tinggi atau tanpa keperluan ruang fizikal yang besar, terutamanya dengan keadaan ekonomi negara yang tidak menentu.

“Oleh itu, keputusan untuk melabur dalam unit kedai perlu dipertimbangkan dengan teliti, terutamanya mengenai potensi pendapatan serta risiko-risiko yang mungkin timbul dalam jangka masa panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, beliau berkata, penawaran yang terhad oleh pemaju turut menyebabkan kaum bumiputera tidak melihat ia sebagai satu pelaburan yang menguntungkan.

“Punca itu juga menyebabkan persaingan pembelian yang tinggi dan harganya melambung menjadikan ia kurang menarik dan sukar dicapai oleh kebanyakan bumiputera,” katanya.

Sementara itu, pramugara, Muhamad Fadzrul Hakemi turut berpendapat unit kedai belum mencapai kestabilan yang boleh menjamin pelabur untuk menyimpannya sebagai aset peribadi.

“Sebaliknya, pelaburan dalam hartanah perumahan lebih stabil kerana lokasi rumah biasanya lebih strategik dan selesa.

“Pelaburan dalam unit kedai pada masa ini lebih bersifat sementara tambahan pula lebih ramai peniaga yang menjimatkan kos dengan berniaga secara dalam talian sahaja,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, kebanyakkan kaum bumiputera juga masih merasa ragu dalam mengekalkan aliran pendapatan yang stabil atau dalam mendapatkan penyewa bagi unit kedai.

“Perkara itu boleh menimbulkan kebimbangan kami sebagai pembeli kerana unit kedai merupakan sebuah bangunan yang besar dan kurang sesuai dijadikan sebagai kediaman sendiri jika tidak capai perancangan untuk menyewakan.

“Unit kedai kosong atau penyewa yang tidak konsisten akan menyebabkan risiko yang besar dalam mendapatkan pulangan modal dan pelaburan yang baik.

“Ini kerana, pendapatan daripada unit kedai ini sememangnya akan bergantung kepada kadar sewa yang stabil dan tempoh penyewaan yang panjang,” ujarnya.

Bagaimanapun, pekerja swasta, Nur Khumaira Roshizad berkata, kaum bumiputera kurang melabur dalam unit kedai mungkin disebabkan kekurangan aspek promosi dan kesedaran untuk mereka lebih cakna mengenai kelebihan pelaburan di hartanah komersial itu.

“Saya melihat pemaju unit kedai kurang mempromosikan bahkan memberikan kesedaran mengenai manfaat dan potensi pelaburan dalam unit kedai sehingga menyebabkan ramai bumiputera tidak mengetahui peluang yang ada,” katanya.

Katanya, mereka mungkin tidak berminat atau merasa yakin untuk melabur dalam hartanah itu tanpa maklumat yang mencukupi berbanding hartanah perumahan.

“Saya merasakan program pendidikan dan kesedaran yang lebih meluas dan berkesan diperlukan untuk mendidik kaum bumiputera mengenai keuntungan dan risiko pelaburan dalam unit kedai.

“Ini termasuk seminar, bengkel dan sumber-sumber pendidikan yang boleh membantu mereka memahami dan merancang strategi pelaburan yang berkesan, terutama dalam pelaburan unit kedai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya