Maybank syarikat terbesar di Bursa Malaysia minggu lalu - Utusan Malaysia

Maybank syarikat terbesar di Bursa Malaysia minggu lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malayan Banking Berhad (Maybank) merupakan syarikat terbesar di Bursa Malaysia dengan nilai pasaran sebanyak RM120.5 bilion setakat minggu lalu, menurut data Simply Wall Street.

Senarai terkini sehingga berita ini dituliskan pada Jumaat, Maybank berada di kedudukan pertama dalam senarai syarikat terbesar di Bursa Malaysia, diikuti Public Bank Berhad dengan nilai pasaran RM81.5 bilion dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) (RM75.8 bilion).

Selain itu, CIMB Group Berhad berada di kedudukan keempat dengan nilai pasaran RM73.5 bilion, diikuti Petronas Chemicals Group Berhad (RM55.4 bilion).

Prestasi kewangan Maybank yang kukuh menyaksikan harga sahamnya melonjak 33 peratus berbanding tahun sebelumnya. Permodalan Nasional Berhad (PNB) merupakan pemegang saham utama Maybank.

Bank terbesar di Malaysia itu mencatatkan keuntungan sebanyak RM27.47 bilion tahun lalu, sekali gus menjadikannya syarikat tersenarai paling menguntungkan.

Pada awal tahun ini, harga saham Maybank diniagakan pada RM8.89; naik 12.4 peratus kepada RM9.99 minggu lalu

Selain itu, Maybank turut menjangkakan hasil keuntungannya pada tahun hadapan sebanyak RM30.34 bilion dengan pendapatan RM10.24 bilion.

Mengulas mengenai prestasi Maybank itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, Maybank menunjukkan prestasi baik dalam mengekalkan kedudukannya.

“Maybank juga telah menguatkan kedudukannya sebagai kumpulan perbankan yang terbesar di Malaysia dan juga berada dalam 10 bank terbesar di Asia Tenggara (di kedudukan keempat),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelas Aimi, kekukuhan kumpulan Maybank tiidak dapat dinafikan lagi dengan prestasi yang memberangsangkan.

“Prestasi Maybank berkait rapat dengan ekonomi Malaysia yang berada di trajektori (perkembangan) menaik pada tahun 2024 setelah prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang perlahan pada tahun lalu,” katanya.

Katanya, momentum ekonomi positif Malaysia mengunjurkan Maybank akan terus meningkatkan prestasinya tahun ini dengan petunjuk dari pertumbuhan KDNK suku pertama pada 4.2 peratus yang melebihi unjuran pasaran iaitu 3.9 peratus.

“Sebagai saham “blue-chips”, Maybank memang akan menjadi pilihan para pelabur asing dan ia sudah melebihi harga sasaran dahulu pada RM9.76 dan berkeupayaan meningkat melebihi RM10.00 sesaham,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Pulangan Aset (ROA) sebelum cukai Maybank telah mencatatkan purata 1.9 peratus iaitu paras yang baik dalam tempoh tiga tahun lepas, walaupun prestasi pelaburan yang lebih lemah mendorong penunjuk itu turun kepada 1.0 peratus pada 2022.

“Bagaimanapun, pada separuh pertama 2023, ROA sebelum cukai melantun semula kepada 2.0 peratus didorong oleh pemulihan kukuh dalam pulangan pelaburan dan pertumbuhan dalam hasil insurans iaitu meningkat 14 peratus tahun ke tahun,” katanya.

Tambahnya, Bank terbesar negara itu dijangka memberikan prestasi yang lebih baik dari tahun 2023 mengikut aset dengan untung bersih tertinggi ketika itu RM9.35bilion dipacu oleh aktiviti ekonomi serantau yang bertambah baik pada tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya