MENJUAL hartanah tidak semestinya suatu perkara yang rumit dan memakan masa.
Namun, urusan penjualan rumah sememangnya mengambil masa beberapa bulan kerana anda perlu mendapatkan pembeli dan berurusan dengan pelbagai pihak sebelum menandatangani Perjanjian Jual Beli (SNP rumah) sebelum memindah milik hartanah secara rasmi kepada pemilik seterusnya.
Oleh itu, jika anda bercadang menjual rumah pada tahun ini, anda patut bertindak sekarang.
Bagi keluaran RINGGIT kali ini, kami senaraikan beberapa perkara yang penting sekiranya anda berhasrat untuk menjual rumah dengan mudah.
SELESAIKAN SEMUA PEMBAYARAN RUMAH YANG BELUM DIJELASKAN
Langkah pertama bagi menyediakan rumah anda untuk pemilik seterusnya adalah menyelesaikan semua pembayaran berkaitan rumah tersebut yang belum dijelaskan.
Ini bagi mengelakkan urusan jual beli rumah anda memakan masa yang lebih kerana perlu menyelesaikan tunggakan-tunggakan tersebut.
Antaranya cukai tanah, cukai taksiran, bayaran penyelenggaraan dan cukai pendapatan sewa.
LANTIK PENILAI HARTANAH
Harga jualan hartanah anda bergantung pada nilainya. Langkah ini hanya terpakai jika anda menjual rumah subsale dan anda boleh abaikan sekiranya mahu menjual hartanah baharu.
Walaupun ada beberapa cara untuk menilai hartanah anda seperti merujuk dengan ejen hartanah tempatan, bertanya dengan bank atau meneliti laman web hartanah, cara terbaik adalah melantik penilai profesional yang boleh menentukan harga jualan yang betul bersandarkan data pasaran, jenis hartanah, harga hartanah lain yang setara di kawasan sekitar dan faktor pasaran lain.
Pastikan anda melantik penilai dari firma yang bertauliah atau pakar penilaian dari bank. Kami sarankan anda pastikan penilai atau firma terbabit berdaftar dengan Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah Malaysia sebelum berurusan.
TENTUKAN PEMBELI SASARAN
Setelah mengetahui nilai hartanah, anda boleh fokus kepada jenis pembeli yang mungkin berminat dengan hartanah anda. Ini akan meningkatkan peluang anda mendapat jualan yang menguntungkan dan boleh mengelakkan pelbagai kerenah pembeli.
Berdasarkan ciri yang ada pada hartanah anda, bina satu persona umum pembeli sasaran, tingkat pendapatan mereka, keadaan hidup semasa mereka dan saiz isi rumah.
Pengetahuan mengenai demografi pembeli akan membantu anda menarik bakal pembeli dan merangka strategi untuk mencapai persetujuan jual beli. Sebagai contoh, jika anda menyasarkan pembeli rumah kali pertama, anda boleh cuba mempengaruhi mereka dengan menawarkan kelengkapan rumah percuma seperti peti ais atau kabinet dapur.
DAPATKAN KHIDMAT PEGUAM HARTANAH
Semasa anda menjual rumah, terdapat banyak prosedur undang-undang yang anda perlu lalui terutama sekali hal berkaitan pemindahan hak milik. Disebabkan itu, anda disarankan untuk dapatkan khidmat peguam hartanah dari proses awal sehinggalah proses akhir jualan.
Anda memerlukan khidmat peguam untuk menguruskan segala perjanjian melibatkan penjualan hartanah anda terutama sekali perjanjian jual beli. Peguam anda juga akan memberikan nasihat berkaitan undang-undang demi kepentingan anda.
Anda disarankan untuk melantik peguam yang mahir supaya proses jualan rumah boleh dipercepatkan. Jika tidak, proses yang sepatutnya selesai dalam tempoh enam bulan boleh memakan masa sehingga lebih setahun.
PASTIKAN RUMAH DALAM KEADAAN TERBAIK
Tidak dinafikan, anda akan lebih mudah menjual rumah sekiranya rumah tersebut dalam keadaan baik tanpa bakal pembeli perlu memikirkan kos untuk pengubahsuaian atau penambahbaikan kelak.
Jadi, pastikan rumah anda kelihatan baik sebelum anda mengiklankannya di pasaran lagi. Selain itu, ada beberapa langkah tambahan yang boleh anda ambil untuk menaikkan lagi daya tarikan rumah anda termasuk cat baharu, mengatur semula pencahayaan dalam setiap bilik, mencantikkan laman dan membetulkan kerosakan kecil seperti pintu, kabinet dan sebagainya.
TANDATANGAN PERJANJIAN JUAL BELI
Setelah persetujuan harga jualan dicapai, peguam anda akan menguruskan proses Perjanjian Jual Beli (SPA). SPA merupakan kontrak yang sah dari segi undang-undang yang menggariskan butir-butir penjualan di antara anda dan pihak pembeli.
Apabila perjanjian SPA telah ditandatangani, pembeli akan membayar bayaran muka sebanyak 10 peratus daripada harga jualan. Anda akan menerima dokumentasi dan anda perlu dapatkan cop.
Proses ini perlu dilengkapkan dalam tempoh 14 hari selepas anda dan pihak pembeli menandatangani Surat Tawaran. Mengikut terma SPA, anda akan menerima baki bayaran dalam tempoh 90 hari dari tarikh perjanjian tersebut ditandatangani. Namun, tempoh masa ini boleh berubah bergantung kepada perjanjian yang telah dipersetujui oleh anda dan pembeli. – UTUSAN