CYBERJAYA: Syarikat studio kandungan digital, Bual Design Sdn. Bhd. menjangkakan sasaran pendapatan RM500,000 untuk menaik taraf bahan komunikasi jualan dan pemasaran dalam industri kesihatan dan teknologi pada 2025.
Setakat ini, sasaran hasil pendapatan bagi separuh kedua tahun 2024 adalah RM150,000.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Hakim Mohd Azmi, 34, berkata, beliau dan pengasas bersama, Muhamad Farehan Maidin, 34, berhasrat untuk mewujudkan sebuah akademi grafik animasi kepada komuniti.
“Idea itu tercetus selepas melihat grafik animasi atau (motion design) ini kurang penerimaan di negara ini.
“Akademi grafik animasi ini akan memfokuskan komuniti atas talian mahupun secara luar talian. Ini bagi membolehkan lebih ramai lagi komuniti grafik mengetahui lebih lanjut mengenai grafik animasi yang agak kurang dikenali.
“Malah, kami berhasrat untuk membantu mengubah idea kompleks menjadi cerita visual yang berimpak, memupuk komuniti grafik animasi yang dinamik, dan meningkatkan kemahiran serta standard pereka grafik di Malaysia.
“Selain itu, mereka berharap Malaysia dapat melahirkan lebih ramai pereka grafik animasi berbakat sekali gus memberi peluang seni itu mendapat sambutan positif daripada komuniti di negara ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Cyberview Living Lab Accelarator Cohort (CLLA) di Cyberjaya baru-baru ini.
Setakat ini, pihaknya berjaya menyelesaikan lebih 20 projek dalam tempoh 2023 hingga 2024.
“Harga yang ditawarkan untuk perkhidmatan grafik ini bermula RM5,000 hingga RM50,000.Kami juga membantu lonjakan peningkatan ‘views’ sehingga 300 peratus merangkumi pelbagai platform digital pelanggan,” katanya.
Jelas Mohd. Hakim, pihaknya memfokuskan servis ini ke beberapa segmen pengiklanan, kandungan, pelancaran produk dan pendidikan yang menarik serta interaktif menggunakan grafik animasi tersebut. – UTUSAN