BUTTERWORTH : Selepas hampir 16 tahun beroperasi, syarikat pengeluar makanan tempatan, Ainaz Food Processing Enterprise kini boleh berbangga apabila produk mereka, pau sejuk beku berjenama Ainaz masih laris dan bertahan hingga ke hari ini.
Pemiliknya, Halipah Yusop, 59, berkata, kejayaan itu dicapai berkat kesabaran serta kegigihan warga syarikat dalam menghadapi liku-liku perniagaan.
Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, pada masa yang sama, kesungguhan mereka untuk mendapatkan pensijilan halal ketika mula beroperasi sejak 2008 yang lalu memudahkan Ainaz Food Processing untuk melebarkan sayap perniagaannya ke peringkat lebih tinggi.
“Saya mula berniaga dari rumah. Masa itu bermula secara kecil-kecilan sahaja dengan modal sendiri.
“Kemudian, saya fokus untuk bekalkan produk saya ke sekolah-sekolah (kantin) dan asrama. Jadi, perlu dapatkan sijil halal dengan segera.
“Alhamdulillah, urusan saya sentiasa dipermudahkan dan kini lebih daripada 10 buah sekolah di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis menjadi pelanggan tetap produk kami,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Jelas Halipah atau lebih mesra disapa sebagai Kak Pah, selain sekolah, beliau turut memasarkan pau tersebut ke markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Perlis, hospital serta beberapa kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di sepanjang Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).
Katanya, Pau Ainaz juga berjaya menembusi beberapa rangkaian pasar raya termasuk di Lembah Kelang dan Pantai Timur serta beberapa pejabat agensi kerajaan dan lain-lain.
“Dengan adanya sijil halal ini juga kami berjaya menembusi pasaran antarabangsa termasuk Thailand, Singapura dan China,” katanya yang memberitahu, hampir semua urusan pemasaran produk dilakukan oleh ejen-ejen yang dilantik.
Kini, kata Halipah, dengan kadar pengeluaran pau harian antara 5,000 hingga 10,000 sehari, pihaknya yakin dapat memenuhi kehendak semasa pasaran.
“Sijil halal memang banyak membantu melancarkan perniagaan saya selama ini,” katanya yang merancang untuk melancarkan produk baharu tidak lama lagi.
Selain perisa kacang merah, kaya dan coklat, pau sejuk beku Ainaz juga boleh didapati dalam perisa ayam, daging dan lain-lain pada harga jualan RM7 sepeket. – UTUSAN