Sembang Hartanah sasar minat golongan muda - Utusan Malaysia

Sembang Hartanah sasar minat golongan muda

muhammad Zufar (kanan) bersama pengacara Sembang Hartanah, Nabeel Othman dan Rosyam Nor sebagai tetamu undangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Sembang Hartanah merupakan sebuah program terbitan Ciptamaia Production kerjasama bersama Nabeel Othman, seorang ejen hartanah yang berpengalaman hampir 10 tahun di dalam bidang hartanah. Sembang hartanah dalam bentuk podcast adalah usaha terbaharu memandangkan isu hartanah dilihat janggal dalam kalangan golongan belia. Ikuti temu bual Utusan Malaysia bersama Pengarah Kreatifnya, Muhammad Zufar Dzul Haimi.

UTUSAN: Boleh kongsikan latar belakang podcast Sembang Hartanah?
Sembang Hartanah merupakan sebuah program terbitan Ciptamaia Production kerjasama bersama Nabeel Othman, seorang ejen hartanah yang berpengalaman hampir 10 tahun di dalam bidang hartanah. Program ini telah diwujudkan sejak November 2023 hasil kerjasama Ciptamaia Production, diterajui oleh saya dan juga Nabeel yang merangkap sebagai pengacara program dan juga mewakili pasukan Saudagar Property dari MN Associates.
Rakaman podcast ini berlangsung di Ciptamaia Studio yang berlokasi di Seria 88, Business Center, Setia Alam, Shah Alam, Selangor. Mensasarkan satu minggu satu episod, Sembang Hartanah telah berjaya mengeluarkan sebanyak sembilan episod setakat ini dan akan terus bersiaran sepanjang tahun.
Kami memilih panel professional dan juga dari pelbagai bidang yang lain untuk membincangkan mengenai ilmu hartanah dan juga hubung kait bidang pihak panel.

Apakah objektif dan misi podcast Sembang Hartanah ini diwujudkan?
Sembang Hartanah diwujud­kan bagi mengupas isu-isu berkaitan hartanah dan sasaran utama adalah golongan belia untuk mengetahui lebih mendalam mengenai bidang hartanah. Kami memilih platform podcast untuk menyampaikan dan membincangkan mengenai perihal hartanah kerana ia lebih dekat dan mudah diterima oleh golongan belia terutamanya pelajar dan anak muda di luar sana.
Selain itu, misi podcast Sembang Hartanah ini adalah untuk membantu dan juga sebagai memberi khidmat kepada umum tentang pentingnya ilmu hartanah masa kini. Hal ini ke­rana, topik hartanah bukanlah satu topik perbualan yang biasa dalam kalangan anak muda, bahkan menjadi satu topik yang janggal untuk dibincangkan. Oleh itu dengan adanya program seperti ini, ia dapat mendidik dan memupuk masyarakat umum mengenai ilmu hartanah ini

Kenapa memilih altenatif Podcast sebagai platform me­nyampaikan ilmu berkenaan hartanah?
Sejak kewujudan Ciptamaia pada 2020, banyak hasil-hasil konten yang telah dikolaborasi seperti bidang muzik, pengila­ngan, kesihatan, barang kemas, fesyen dan juga makanan dan minuman. Kesemua karya daripada Ciptamaia telah mendapat maklum balas yang baik daripada penonton dan pendengar.
Oleh itu, memilih platform podcast untuk menaikkan dan menjayakan sebuah program seperti Sembang Hartanah, ia merupakan salah satu kepakaran pihak produksi dan telah terbukti mendapat sambutan yang memberangsangkan sejak ia disiarkan sejak November 2023.
Untuk mewujudkan program ilmiah bagi tujuan memberi pendedahan terhadap masyarakat tempatan kepen­tingan ilmu hartanah, platform podcast merupakan trend dimana ia mudah untuk mendekati para pendengar.
Berkonsepkan santai seper­ti podcast dan talkshow, selain menyampaikan ilmu dan mengupas isu-isu berkenaan hartanah, ia juga menyuntik nilai-nilai tambahan daripada panel jemputan mengenai bidang kepakaran mereka. Panel-panel kami terdiri daripada golongan professional seperti peguam, pegawai bank, dan juga panel-panel berlatarbelangkan akademik.
Terkini, rakaman episod khas Aidilfitri yang telah dihadiri oleh Datuk Rosyam Nor, mengupas mengenai isu-isu hartanah tempatan. Beliau telah banyak berkongsi ilmu dan pengalaman yang telah dilalui beliau. Episod kali ini bertemakan rumah terbuka sambutan Aidilfitri yang bakal disiarkan pada 1 Syawal nanti.

Ada banyak podcast di luar sana, jadi apa kelainan yang ada pada podcast Sembang Harta­nah berbanding podcast lain?
llmu berkenaan hartanah ini sering dikaitkan dengan golongan yang lebih berusia dan merupakan topik yang kurang menarik minat golongan muda untuk mengambil tahu mengenai bidang ini. Kami memilih platform podcast kerana ia me­rupakan satu platform yang di­minati oleh generasi masa kini, dan ia adalah satu ruang bual bicara dan penyampaian informasi dan ilmu yang lebih santai. Walaupun konsep podcast dan bual bicara atau talkshow ini telah lama wujud, Sembang Hartanah juga tidak terlepas daripada arus trend yang menjadi ikutan majoriti masyarakat tempatan dan luar negara khususnya golongan belia.
Memberikan suntikan yang berbeza, Ciptamaia berharap program ini dapat memupuk anak muda untuk lebih mendalami mengenai ilmu harta­nah.
Ciptamaia membawakan sebuah konsep yang lebih santai yang menggabungkan gaya format podcast dan talkshow yang mana dihoskan oleh ejen Hartanah yang bertauliah, Nabeel Othman. Ia juga merupakan satu podcast yang fokusnya bukan sahaja pada topik hartanah, malah ia juga menghubung kaitkan juga topik mengenai profesion para panel jemputan.

Apakah perancangan Ciptamaia Production dalam tempoh lima tahun untuk podcast Sembang Hartanah ini pada masa akan datang?
Kami dalam hala tuju merencanakan dan menjadikan program ini lebih mendapat sambutan bukan sahaja daripada masyarakat tempatan malah menyasarkan ia dapat menembusi ke platform antarabangsa. Untuk masa yang terdekat, pihak produksi mengharapkan dapat menjemput lebih ramai panel yang berkaliber dari lain-lain bidang terutamanya dari golongan professional dan akademik, supaya ia dapat memberi ilmu yang bermanfaat kepada orang ramai.
Pihak produksi juga merancang untuk membuat rakaman podcast Sembang Hartanah ini di insitusi pengajian tinggi, badan-badan kerajaan mahupun swasta untuk lebih dekat bersama penonton dan pendengar diluar sana.
Selain daripada itu, podcast ini juga diharapkan dapat setanding podcast-podcast tempatan yang terkenal dan dapat bekerjasama bersama podcast-podcast tersebut di masa akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN