KUBANG PASU: Qubra Food Manufacturing Sdn. Bhd. (Qubra Food) yang beroperasi di Napoh, di sini memanfaatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diperoleh sejak 2012 untuk melebarkan perniagaan ke luar negara terutama Singapura.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Ahmad, selain sijil berkenaan yang diperoleh bagi kesemua 18 produknya yang menggunakan jenama Ameen, syarikat itu turut memiliki pensijilan Malaysia Analisis, Mudarat dan Titik Kawalan Kritikal (Haccap), di samping Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).
“Pensijilan halal daripada Jakim ini melibatkan prosedur yang ketat ketika kami memohonnya dan pemantauan berterusan daripada pihak terlibat dari masa ke semasa. Perkara itu memberi kelebihan kepada produk makanan kami.
“Selain itu pada 2022, Qubra Food telah memperoleh sijil Haccap dan MeSTI. Ini adalah langkah Qubra Food untuk mengembangkan perniagaan,” katanya ketika ditemui di pejabat Qubra Food, baru-baru ini.
Menurut Suhaimi, tiga pensijilan utama tersebut juga memberi kelebihan kepada pemasaran produk makanan syarikat mereka termasuk dalam kalangan pengguna tempatan.
“Masyarakat hari ini mementingkan label halal. Bila tengok produk, mereka akan tengok tanda halal dilabel itu dahulu. Keadaan sudah berubah. Bagi Qubra Food, kami ingin tawar produk yang diyakini oleh pengguna kerana ini juga satu tuntutan dalam Islam.
“Qubra Food mempunyai sijil halal untuk semua produk jenama Ameen kami termasuk mee tarik saffron, jus durian belanda, kuah rojak, sos lada hitam dan mayonis. Kami turut mempunyai sijil halal bagi pengeluar produk tulen (OEM) yang membolehkan kami memproses produk pelanggan kami,” katanya.
Menurut beliau, tiga produk berkenaan seperti kuah rojak, sos lada hitam dan jus durian Belanda adalah yang tertinggi pengeluaran kerana permintaannya di dalam dan luar negara seperti Singapura.
“Qubra Food mengeluarkan sebanyak 20 tan kuah rojak, 13 tan sos lada hitam dan dua tan jus durian Belanda sebulan untuk pasaran domestik dan Singapura. Kami turut bercadang untuk mengembangkan pasaran ke negara jiran lain termasuk Indonesia dan Brunei selepas ini,” katanya.
Katanya, Qubra Food ditubuhkan pada 2010 untuk memberi saingan kepada industri makanan tempatan dengan tema ‘Halal itu fardhu, Enak itu perlu’.
“Bukan sekadar untuk pasar raya besar, di kedai runcit pun kalau kita nak pasarkan produk ini sijil halal perlu diutamakan. Dahulu mungkin pelanggan tak berapa nak sedar kepentingan ini tetapi sekarang berbeza,” kata usahawan berusia 52 tahun ini. – UTUSAN