Permintaan inap desa melonjak ketika Aidilfitri - Utusan Malaysia

Permintaan inap desa melonjak ketika Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSATUAN Kam­pungstay Dan Homestay Malaysia (MKHA) menyasarkan tempahan inap desa meningkat sebanyak 55 peratus sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Setiausaha Agungnya, Mistam Taib berkata, seperti tahun lalu, kebanyakan tempahan dibuat sebelum Ramadan lagi untuk penginapan pada Hari Raya Aidilfitri.

“Kebiasaannya pada Hari Raya pertama dan kedua kurang tempahan. Namun, pelanggan mula menempah pada Hari Raya ketiga iaitu 12 sehingga 21 April dan ada beberapa inap desa sudah mulai penuh.

“Malah, trend ini mula meningkat diikuti setiap hujung minggu sehingga penghujung Mei. Ada juga beberapa inap desa di daerah lain yang masih ada kekosongan.” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mistam berkata, jangkaan itu berdasarkan 483 kampung stay, 217 kluster homestay melibatkan 3,306 pengusaha atau rumah yang berdaftar di bawah MOTAC, namun tidak termasuk yang mengiklankan inap desa secara persendirian atau melalui aplikasi.

Sarawak menduduki tempat pertama bilangan inap desa paling tinggi iaitu 706, diikuti Johor (465) manakala, Sabah pula sebanyak 441 serta Pahang pula 331 buah inap desa.

Selain itu jelas beliau, harga inap desa masih dikekalkan dengan harga lama iaitu bermula RM150 hingga RM450 semalam.

“Bagaimanapun, sekiranya ada mana-mana inap desa yang menambah fasiliti atau kemudahan seperti kolam renang dan sebagainya, harganya akan menjadi lebih tinggi,” katanya.

Mistam turut menasihatkan pemilik rumah yang mahu menjadi rumah mereka sebagai inap desa agar merujuk dahulu dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan berdaftar dengan MOTAC supaya dapat memberikan statistik lebih tepat.

Sementara itu, pemilik inap desadi Melaka, Mohd. Nur Hakim Md. Yussof berkata, dia mampu menjana keuntungan lebih RM3,000 ketika musim perayaan kerana tempahan yang meningkat.

Ujarnya yang mengusahakan Semenda Rasa Bali Residence bersama isterinya, Ayu Zeity Md. Bukhori, pulangan itu adalah dua kali ganda berbanding hari-hari biasa dengan harga penginapan semalam antara RM200 ke RM300.

“Hal ini disebabkan tempoh cuti yang agak lama untuk pulang ke kampung. Kebanyakan pelanggan membuat sehingga hujung April.

“Bagi musim perayaan ini, mereka selalunya menempah untuk dua malam. Saya menerima pertanyaan mengenai inap desa hampir setiap hari melalui aplikasi WhatsApp, serta laman sosial Tiktok,” katanya.

Menurutnya, dia dan isteri membeli rumah itu pada 2019 dengan harga RM360,000 dan merupakan kediaman kedua serta tidak digunakan secara tetap.

“Kami mengubahnya menjadi inap desa sebagai salah satu cara untuk mengoptimumkan penggunaan rumah. Dengan menerima tetamu sementara, kami dapat memperoleh pendapatan tambahan setiap bulan,” katanya.

Jelasnya, mereka amat mementingkan fleksibiliti pada aset hartanah yang dijadikan sebagai inap desa.

“Hal Ini kerana, kami masih boleh menggunakan rumah tersebut sebagai tempat istirehat kami sekeluarga semasa rumah tidak disewa, pada masa yang sama masih mempunyai pilihan untuk menyewakannya apabila tidak menggunakannya.

“Malah, dalam keadaan situasi kos sara hidup yang semakin tinggi, menyewakan rumah sebagai inap desa merupakan salah satu cara untuk menangani tekanan kewangan dengan menggunakan aset yang sedia ada untuk menjana pendapatan tambahan,” katanya.

Jelas beliau, inap desa menawarkan peluang pelaburan yang menarik kerana industri pelancongan di Melaka dilihat terus berkembang, terutama di bandar dan kawasan bersejarah.

“Dengan menawarkan penginapan sementara kepada pelancong, kami dapat memanfaatkan tempahan berulang untuk menghasilkan pendapatan yang lumayan sepanjang tahun,” katanya.

Bagaimanapun dia mengakui industri ini penuh dengan persaingan ditambah pula terdapat ribuan apartmen yang dijadikan inap desa.

“Jadi, kami perlu tampil unik sama ada melalui ciri-ciri dekorasi, harga yang mampu bersaing, atau perkhidmatan tambahan supaya dapat bersaing dengan pengusaha inap desa yang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN