Inap desa pelaburan hartanah menguntungkan - Utusan Malaysia

Inap desa pelaburan hartanah menguntungkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INAP desa merupakan rumah sewa jangka pendek yang semakin popular sejak kebelakangan ini.

Penginapan jangka pendek tersebut yang kebiasaannya dibuat melalui dalam talian seperti aplikasi airbnb, booking.com, trivago dilihat telah mula menjadi satu perniagaan yang menguntungkan bagi pemilik hartanah untuk menyewa kediaman mereka sekali gus menjadi sumber pendapatan yang baik terutama selepas pelancongan kembali pesat selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut statistik Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), industri pelancongan inap desa di Malaysia telah menjana pendapatan sebanyak RM18.456 juta pada 2012 dan meningkat kepada RM40.457 juta pada 2023 dengan jumlah pelancong pada tempoh tersebut meningkat daripada 325,000 kepada 884,000 orang.

Jika sebelum ini kaedah inap desa ini bagi menampung kekurangan bilik hotel di sesetengah tempat atau lokasi terpencil yang tidak mempunyai hotel, resort dan chalet, namun kini, inap desa mampu memberi impak positif sehingga mampu menjana pendapatan daripada pelancongan.

Namun, sejauh manakah perniagaan ini mampu menjana pendapatan kepada pemilik hartanah itu sendiri?

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pelaburan sektor hartanah merupakan pilihan strategik terutama bagi inap desa.

“Seperti pelaburan hartanah yang lain, strategi penting terletak kepada pilihan lokasi yang tepat dan menarik.

“Kejayaan inap desa bukan sahaja bergantung kepada dekorasi dan perabot rumah yang cantik tetapi juga kepada persekitaran dan ekosistem pelancongan di kawasan tersebut.

“Jarak ke lokasi tarikan pelancong dan akses kepada kemudahan awam masih menjadi pilihan utama para pelancong iaitu internet, jalan raya, rawatan kesihatan dan pelbagai lagi.

“Justeru, dalam membuat pelaburan inap desa, pemilik hartanah harus berhati-hati menyediakan kemudahan yang sesuai. Mereka perlu berdaftar dengan MOTAC dan mendapatkan bimbingan daripada agensi-agensi kerajaan dalam menentukan harga dan lain-lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, ini memastikan pelaburan yang dibuat memenuhi kehendak pelancong yang datang dan tidak overpromise atau underpromise yang bakal beri kesan jangka panjang.

“Kebanyakan pengusaha inap desa menggunakan media sosial atau aplikasi untuk mengiklankan kemudahan inap desa untuk mencapai sasaran pelanggan, namun perlu berhati-hati kerana penularan komen negatif mampu menjejaskan reputasi.

“Bagi jangka masa panjang, pelabur perlu meneliti aspek menjual hartanah inap desa untuk mendapat pulangan daripada modal pelaburan (ROI). Pengiraan ROI adalah bahagian penting dalam merancang atau menyemak sebarang pembelian pelaburan hartanah.

“Pengiraan ROI secara mudah melihat kos hartanah dan jumlah wang yang diperolehi, membolehkan kita melihat sebagai peratusan untung atau rugi. Jadi, lokasi yang strategik itu penting bagi jangka masa panjang sekiranya mahu menjual hartanah yang dibuat inap desa itu pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Wong Woei Chyuan berkata, pemilik kediaman mampu memperoleh pendapatan sewa yang jauh lebih tinggi daripada pasaran sewa konvensional selepas membayar yuran dan pembersihan.

Bagaimanapun, pulangan pendapatan inap desa yang tinggi diperoleh daripada platform dalam talian seperti airbnb dilihat berisiko kerana persaingan dan ketidaktentuan pulangan pendapatan sewa.

“Ini terutama bagi mereka yang mengambil pinjaman hartanah untuk membiayai pembelian hartanah inap desa mereka.

“Terdapat juga isu risiko peraturan seperti baru-baru ini kerajaan negeri Pulau Pinang melarang semua penginapan jangka pendek di unit kediaman di pulau itu berkuat kuasa pada Mei 2023,” katanya.

Jelas beliau, statistik inap desa MOTAC tidak termasuk yang ditawarkan airbnb menunjukkan terdapat seramai 3,306 pengusaha inap desa di bawah Program Pengalaman Homestay iaitu penurunan berbanding 4,070 pada 2018 namun dijangka meningkat kerana populariti platform itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN