PETALING JAYA: Sektor pengilangan negara diramal terus melangkah ke arah pemulihan sepanjang suku pertama tahun ini.
Menurut firma penyelidikan S&P Global Market Intelligence, ketika ini pesanan baharu dan pengeluaran berada di tahap sederhana di tengah-tengah laporan bahawa terdapat beberapa peningkatan dalam permintaan.
Pada masa yang sama katanya, sektor pekerjaan dan tunggakan secara amnya stabil pada Februari, termasuk aktiviti pembelian.
Katanya, harga bahan mentah yang lebih tinggi dan kelemahan mata wang, menambah kepada kos input sektor berkenaan dengan kadar inflasi yang semakin pantas daripada tempoh tinjauan sebelumnya.
“Sebagai tindak balas, hanya sebahagian kecil harga jualan dinaikkan,” katannya dalam nota kajian.
S&P Global berkata, Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) S&P Global Malaysia yang diselaraskan secara bermusim ialah 49.5 pada Februari, meningkat daripada 49.0 bulan sebelumnya.
Ia menandakan sedikit kemerosotan dalam perniagaan sejak urutan penurunan semasa yang bermula pada September 2022.
Menurut pengilang katanya, operasi pada Februari pada awamnya adalah stabil disebabkan permintaan yang sebelum ini sederhana kembali stabil.
Pengurangan dalam pengeluaran dan permintaan membolehkan penstabilan beransur-ansur dalam aktiviti pembelian kerana beberapa syarikat menjangkakan peningkatan pembelian input untuk memadankan keperluan output, katanya lagi.
Sementara itu, pakar ekonomi S&P Global Market, Usamah Bhatti berkata, PMI Pembuatan S&P Global Malaysia terbaharu menunjukkan bahawa syarikat mula melihat keadaan permintaan berubah pada Februari.
Menurutnya, hanya terdapat sedikit penyederhanaan dalam pengeluaran, jumlah pesanan baharu dan eksport kerana syarikat menjangkakan permintaan yang meningkat dalam sektor pembuatan.
“Galakan lebih lanjut datang daripada penstabilan luas dalam kerja-kerja yang tertunggak, petanda bahawa tekanan ke atas kapasiti juga mula berlaku,” katanya. – UTUSAN