PETALING JAYA: MIDF Research mengekalkan unjuran kadar purata pengangguran pada paras 3.5 peratus tahun ini dan pasaran buruh di Malaysia dijangka terus kukuh pada 2023 dan 2024, disokong oleh momentum yang menggalakkan dalam ekonomi domestik.
Dalam nota kajiannya, firma itu juga meramalkan sedikit peningkatan dalam pemulihan eksport dalam suku keempat tahun ini dan seterusnya.
Katanya, kadar purata pengangguran Malaysia dijangka kembali ke tahap sebelum pandemik pada 3.3 peratus pada 2024.
“Dengan kembalinya pekerja bukan warganegara, ia dijangka meningkatkan pekerjaan keseluruhan dan mengurangkan kadar pengangguran.
“Sehingga suku ketiga tahun iin, pekerjaan bukan warganegara kurang hampir 0.8 peratus lebih rendah daripada tahap sebelum pandemik,” katanya di sini baru-baru ini.
Firma penyelidikan itu berkata, sehingga sembilan bulan pertama tahun ini, guna tenaga meningkat 2.5 peratus tahun ke tahun (2022: naik 3.5 peratus) manakala pengangguran berkurangan sebanyak 8.9 peratus tahun ke tahun (2022: turun 14.8 peratus) dan kadar purata pengangguran pada 3.5 peratus (2022: 3.8 peratus).
Menurutnya, penambahbaikan berterusan dalam pasaran buruh akan menyokong perbelanjaan pengguna kerana nisbah penerima gaji kepada pekerjaan telah mencapai kemuncak baharu pada 64.6 peratus pada 2022, antara lain oleh kesan dasar gaji minimum.
MIDF Research berkata, pasaran buruh Malaysia terus mengalami trend yang bertambah baik apabila kadar pengangguran dikekalkan pada paras terendah selepas wabak pada 3.4 perats pada September tahun ini.
“Kadar pertumbuhan tenaga buruh dan guna tenaga terus naik berada pada kadar sederhana iaitu 1.8 peratus dan dua peratus tahun ke tahun, paling perlahan dalam dua tahun.
“Bagi belia berumur 15~24 tahun, kadar pengangguran mencecah paras rendah pandemik baharu sebanyak 10.6 peratus, namun lebih tinggi sedikit daripada sebelum pandemik (2019: 10.4 peratus),” ujarnya.
Sementara itu, firma itu berkata, jawatan kosong Malaysia didaftarkan pada 151,400 pada Ogos tahun ini.
“Ini adalah sejajar dengan jangkaan kadar pertumbuhan guna tenaga kami yang menyederhana pada separuh kedua tahun ini disebabkan oleh kelemahan berterusan dalam prestasi perdagangan luar.
“Purata kekosongan jawatan bulanan merosot di bawah paras pasca pandemik pada 185,600 pada lapan bulan pertama (2021: 206,700, 2022: 396,100). Sebagai perbandingan, purata bulanan sepanjang 2010 hingga 2019 adalah lebih rendah pada 114,000,” jelasnya. – UTUSAN