Tips pilih dan elak kontraktor bermasalah - Utusan Malaysia

Tips pilih dan elak kontraktor bermasalah

PEMILIK rumah yang mahu membina dan mengubah suai rumah perlu memeriksa latar belakang kontraktor untuk mengelakkan sebarang masalah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMILIHAN kontraktor boleh dikatakan perkara yang besar juga sebelum membina atau mengubah suai rumah.

Ini kerana, anda sebagai pemilik rumah pasti mahukan proses yang lancar seterusnya mengelakkan kerugian disebabkan terpilih kontraktor yang bermasalah.

Sebagai contoh, setelah anda memilih kontraktor, harga projek yang telah dijanjikan berbeza dengan apa yang perlu dibayar. Malah, lebih menyedihkan, walaupun anda terpaksa membayar harga yang lebih tinggi, kerja yang diberi masih terbengkalai selain turut berdepan risiko kontraktor lari dengan wang yang telah diberikan.

Jadi, dalam keluaran RINGGIT kali ini, kami berikan beberapa tips memilih kontraktor untuk kerja-kerja binaan atau ubah suai rumah yang lebih selamat sekali gus mengelakkan risiko ditipu.

SEMAK LATAR BELAKANG KONTRAKTOR
Perkara pertama yang paling penting adalah anda memeriksa latar belakang kontraktor yang anda mahu pilih. Ini boleh dilakukan dengan bertanya pada kejiranan dan mencari maklum balas daripada pelanggan terdahulu.

Selain itu, pastikan kontraktor itu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)dan lakukan semakan lesen terhadap kontraktor di Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Sekiranya berlaku sebarang masalah berkenaan kontraktor ini, anda juga boleh membuat aduan kepada CIDB untuk melaporkan salah laku kontraktor ini bagi tindakan selanjutnya selain membuat tuntutan tribunal.

PASTIKAN KONTRAKTOR TAHU PERATURAN DITETAPKAN
Anda juga perlu memastikan kontraktor yang mahu dipilih berpengetahuan mengenai peraturan dalam membina atau mengubah suai kediaman.

Ini kerana, kontraktor tersebut boleh meletakkan tuan rumah pada risiko yang sangat tinggi jika tidak tahu peraturan yang telah ditetapkan. Pemilik rumah mungkin boleh dikenakan denda daripada pihak majlis perbandaran kerana tidak mendapat kelulusan untuk melakukan ubah suai dan sebagainya.

Selain itu, rumah juga tidak dijamin selamat sekiranya kontraktor tidak mengambil kira struktur tanah, sistem perpaipan, pembentungan dan pendawaian yang ditetapkan.

PILIH KONTRAKTOR YANG BERI SEBUT HARGA
Bagi mengelakkan ditipu dan terpaksa membayar dengan harga yang lebih tinggi daripada yang dipersetujui, anda pilihlah kontraktor yang memberi sebut harga dan bukannya anggaran kos.

Ini memudahkan pemilik rumah memeriksa kerja yang dilakukan adalah sama dengan apa yang telah dinyatakan dalam sebut harga.

SEDIAKAN SURAT PERJANJIAN DI ANTARA KONTRAKTOR DAN PEMILIK RUMAH
Perjanjian antara pemilik rumah dan kontraktor adalah perlu untuk melindungi hak pemilik rumah sekiranya berlaku sebarang masalah.

Ia juga boleh dijadikan sebagai rujukan sekiranya berlaku keraguan atau pertelingkahan, serta boleh dijadikan bukti atau dokumen sah di sisi undang-undang.

Antara perkara yang perlu ada dalam perjanjian tersebut ialah tarikh tanda tangan perjanjian, tarikh siap projek, denda sekiranya kontraktor gagal siapkan projek dalam masa ditetapkan, bahan-bahan binaan untuk dinding, bumbung, lantai, bilangan suis dan lain-lain lagi.

PILIH KONTRAKTOR, BUKAN TUKANG RUMAH
Kontraktor adalah entiti yang berdaftar dengan CIDB dan mereka mempunyai kemahiran serta pengetahuan tentang sistem binaan rumah. Bukan sahaja binaan struktur, tetapi juga sistem sokongan, lekapan dan kemasan rumah.

Mereka mempunyai pekerja yang terdiri dari tukang atau subkontraktor berkemahiran seperti tukang paip berdaftar dan kontraktor elektrik berdaftar, dan mereka akan menyelia kerja-kerja di tapak.

Pemilihan kontraktor adalah lebih selamat kerana walaupun mungkin lebih murah, namun tukang adalah entiti yang mempunyai kemahiran terhadap sesuatu kerja sahaja.

Contohnya tukang bancuh simen, tukang naikkan bata, tukang paip dan lain-lain. Namun, ada juga tukang yang mempunyai kemahiran seperti kontraktor, cuma mereka tidak berdaftar dengan CIDB.

Jadi, sekiranya tuan rumah hendak melantik tukang ini, lebih selamat minta tukang tersebut berdaftar dengan CIDB bagi mengurangkan risiko-risiko yang boleh terjadi kelak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya