PETALING JAYA: Penganalisis mengekalkan saranan mereka terhadap sektor perbankan selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan sorotan September 2023.
Dalam sorotan itu, BNM memperincikan pertumbuhan pinjaman yang berterusan, penampan mudah tunai bank yang sihat, dan nisbah keseluruhan stabil bagi pinjaman terjejas kasar dan bersih.
AmInvestment Bank berkata, ia mengekalkan saranan “neutral” terhadap sektor perbankan, dan mencatatkan peningkatan sederhana dalam pertumbuhan pinjaman industri kepada 4.3 peratus tahun ke tahun (y-o-y) pada September 2023, disokong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman isi rumah dan bukan isi rumah.
Menurutnya, pinjaman modal kerja mencatatkan kadar pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 1.1 peratus tahun ke tahun pada September, manakala pertumbuhan pinjaman isi rumah meningkat sedikit pada 5.6 peratus tahun ke tahun, disokong oleh pertumbuhan lebih kukuh dalam pinjaman untuk pembelian harta kediaman, kegunaan peribadi dan kad kredit tertunggak.
“Pertumbuhan pinjaman sehingga kini sebanyak 4.1 peratus adalah sejajar dengan jangkaan pengembangan 4 hingga 5 peratus untuk 2023,” katanya dalam nota penyelidikan.
AmInvestment Bank mengekalkan unjuran pertumbuhan pinjamannya sebanyak 4 peratus untuk 2024 sambil menambah, pertumbuhan yang lebih tinggi dalam permohonan pinjaman bukan isi rumah telah menyumbang kepada peningkatan dalam keseluruhan permohonan pinjaman pada September.
Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd. mengekalkan penarafan ‘overweight’ bagi sektor perbankan dengan penekanan berterusan pada pilihan taktikal kerana pelabur mungkin selektif dalam mengimbangi kekuatan asas jangka panjang dan peningkatan sentimen jangka pendek.
Dalam nota penyelidikannya, Kenanga Investment Bank kekal yakin dengan daya tahan sektor perbankan di tengah-tengah industri lain yang mungkin terjejas teruk oleh turun naik harga komoditi dan kadar pertukaran.
Katanya, dengan persekitaran kadar stabil yang berkemungkinan dapat dikekalkan pada bulan-bulan akan datang, ia memberi peluang kepada bank untuk menstruktur semula kadar keuntungan mereka dan mendapatkan semula margin yang hilang daripada persaingan deposit lalu.
“Kami juga berpendapat kualiti aset kebanyakannya tidak membimbangkan kerana kebanyakan bank kekal dengan modal yang tinggi, walaupun bersedia untuk menambah peruntukan jika perlu,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, pinjaman sistem meningkat sebanyak 4.3 peratus pada September 2023, sejajar dengan sasaran firma itu antara 4.0 hingga 4.5 peratus bagi keseluruhan 2023.
Ia menjangkakan pinjaman perniagaan akan berdaya tahan, mengimbangi potensi penyederhanaan daripada pinjaman isi rumah kerana kos pinjaman rumah mungkin kurang memberangsangkan.
“Sebaliknya, pinjaman terjejas kasar (GIL) industri kelihatan kembali kepada bacaan yang lebih sihat pada 1.72 peratus.
“Deposit berkemungkinan kekal ringan pada Akaun Semasa Akaun Simpanan (CASA) walaupun kadar faedah stabil dan penyederhanaan penetapan harga produk disebabkan pendeposit masih terkunci daripada pasaran.
“Kami menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dikekalan pada 3.00 peratus sehingga akhir 2024, yang boleh memberi banyak ruang kepada bank untuk mengoptimumkan semula margin produk mereka,” ujarnya.
Pilihan utama Kenanga Investment Bank bagi sektor perbankan adalah CIMB Bank dengan penarafan ‘outperform’ (OP) pada harga sasaran (TP) RM6.30, didorong trajektori pendapatannya yang mungkin mengatasi pesaingnya, selain prospek dividen yang lebih baik.
Ini diikuti dengan AmBank (OP; TP: RM4.80) untuk prospek penyatuan yang semakin meningkat didorong oleh prestasi bukunya yang lebih baik dan Alliance Bank Malaysia Berhad (OP; TP: RM4.30).