PUTRAJAYA: Pengusaha industri halal negara bakal diberi peluang mempromosikan perniagaan ke pasaran dunia dengan lebih meluas melalui peranan saluran media antarabangsa sekali gus mampu menjangkau khalayak muslim global.
Usaha itu direalisasikan melalui Diplomasi Halal di bawah inisiatif mengantarabangsakan ekosistem Halal Malaysia yang diusahakan antara Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Halal Development Corporation (HDC).
Bagi menyokong usaha berkenaan, sebuah syarikat berpangkalan di Malaysia yang terlibat dalam industri Halal, ARK Advantage Sdn. Bhd. (ARK) dan Islam Channel Network iaitu sebuah rangkaian media berkonsep Islamik berpangkalan di United Kingdom bekerjasama dalam penciptaan kandungan berteraskan sektor ekonomi halal.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif ARK, Imran Musa berkata, ia membolehkan usahawan produk dan perkhidmatan halal tempatan dalam pelbagai bidang dapat mempromosikan secara meluas merentasi pelbagai platform milik Islam Channel Network itu.
Katanya, ia sekali gus membantu meningkatkan hasil pulangan perniagaan meliputi produk makanan, pelancongan, perbankan Islam, fesyen muslimah, kosmetik dan farmaseutikal serta pengiklanan bersubsidi.
“Memorandum Persefahaman di antara ARK dan Islam Channel Network UK merupakan lembaran baharu untuk industri halal tempatan.
“Kerjasama ini diharap dapat memartabatkan agenda halal Malaysia di peringkat global, satu inisiatif yang sentiasa diperjuangkan HDC serta agensi-agensi kerajaan lain seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya di sini baru-baru ini.
Dalam mengukuhkan kerjasama itu, ARK dan Islam Channel Network UK menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Persidangan Perniagaan Halal Dunia (WHBC) 2023 London, baru-baru ini.
Perjanjian itu disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari.
Dalam pada itu, Pengasas Islam Channel Network, Mohamed Ali Harrath berkata, platform media antarabangsa ini mempunyai kekuatan dan mampu menjangkau khalayak Muslim global menerusi gabungan rangkaian televisyen, aplikasi mudah alih dan media sosial.
Katanya, kerjasama strategik itu mampu mempromosikan ekosistem halal secara holistik, sekali gus menyokong industri halal dan pada masa sama mengukuhkan sektor pelancongan Malaysia.
“Dengan lebih 4 juta penduduk Islam di UK yang menyumbang lebih kurang 126 bilion pound kepada ekonomi Britain, Islam Channel Network adalah medium tepat untuk menjangkau penduduk Muslim British ini,” katanya.
Sementara itu, Hairol Ariffein berkata, HDC amat komited dalam memupuk kerjasama antara syarikat dan organisasi di peringkat antarabangsa sebagai pemacu pertumbuhan penting bagi industri Halal Malaysia.
Katanya, inisiatif bersama seperti ini tidak hanya mewujudkan platform untuk mengembangkan industri halal, tetapi juga berfungsi untuk menonjolkan ekosistem halal Malaysia di persada global.
WHBC 2023 Edisi ke-15 yang berlangsung pada 27 hingga 28 Oktober lalu di Royal Lancaster, London itu dianjurkan oleh HDC dalam misi menjadikan Malaysia sebagai peneraju industri halal.
Persidangan itu dilancarkan Timblaan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dihadiri delegasi-delegasi dan pakar-pakar ekonomi antarabangsa terutamanya UK, Pertubuhan negara-negara Islam (OIC), Kesatuan Eropah (EU), Indonesia, Afrika Selatan, China, Jepun dan Turki. – UTUSAN