ALOR SETAR: Pengguna jalan raya yang melepasi susur keluar Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Alor Setar (Selatan), di sini pasti tertarik untuk melirik ke arah sebuah ‘rumah agam’ di pinggir sawah yang cukup indah.
Premis dikelilingi kaca itu membolehkan sesiapa sahaja melihat terus bahagian dalamnya. Tidak hanya tertarik dengan chandelier indah yang tersangkut di siling, hati pengunjung tentunya terpaut juga kepada pakaian dihasilkan daripada cotton yang menghiasi ruangan utama bangunan itu.
Sebenarnya rumah agam tersebut bukanlah kediaman sesiapa tetapi bangunan itu adalah Wisma Dhia Cotton yang menjadi `saksi’ kepada kegigihan sepasang suami isteri berusaha membina empayar perniagaan sejak bergelar pelajar institusi pengajian tinggi, 10 tahun lalu.
Mengimbas permulaan perjalanan syarikat tersebut, Pengarah Urusan Dhia Cotton, Mohd. Hidayat Mohamad, 34, berkata, segala yang dicapainya bersama isteri, Siti Murni Abdullah, 34, ketika ini bukan datang secara bergolek atau melayang.
“Saya dan isteri bukan dari keluarga senang. Ayah dan ibu meninggal dunia ketika saya berusia 18 tahun manakala isteri pula bergelar anak yatim sejak berusia enam tahun selepas ayahnya meninggal dunia lebih awal.
“Kami ditakdirkan berkahwin pada usia muda, 22 tahun dan saya belanjakan wang simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk berkahwin. Dengan baki RM5,000, isteri cadang agar kami menceburi bidang perniagaan dengan mencari pakaian di Vietnam.
“Kami memperuntukkan RM3,000 dan saya masih ingat bagaimana kami optimumkan penggunaan wang itu sampaikan hanya jamah mi segera untuk tempoh empat daripada lima hari berada di Vietnam agar wang yang ada betul-betul dijadikan modal berniaga,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Tidak terhenti di situ, bapa kepada tiga anak tersebut turut tidak dapat melupakan bagaimana usaha mereka untuk berniaga di pasar pagi buat kali pertama gagal menghasilkan sebarang jualan.
“Memang ada yang melihat dan menyatakan pakaian kami jual cantik tetapi mereka tak beli. Namun, saya ambil semua itu sebagai sesuatu yang positif apatah lagi peniaga lain turut memberikan semangat dan tidak bersifat menjatuhkan.
“Maka sebelah petangnya kami berniaga pula di pasar malam dan Allah hadirkan rezeki kami buat kali pertama dalam bidang perniagaan baju. Kami berjaya catat jualan lebih RM300 dan saya sangat gembira hingga menelefon abang bagi bercerita ‘pencapaian’ itu,” katanya.
Bermula dari situ katanya, mereka tidak lagi menoleh ke belakang. Semakin banyak ilmu digarap dan modal perniagaan juga semakin besar bagi meraih nilai keuntungan lebih baik.
“Daripada nak pasang khemah pun tak tahu sewaktu berniaga pasar pagi, akhirnya perniagaan kami berkembang hingga berjaya beli premis kedai untuk simpan barang. Kini secara keseluruhannya kami ada 22 cawangan dengan kira-kira 120 kakitangan di seluruh Semenanjung.
“Dalam perniagaan, banyak perkara perlu dikorbankan termasuk masa dan tenaga bagi mencapai cita-cita. Saya bersyukur kerana mempunyai isteri yang cekal serta banyak memberi dorongan dengan dia sendiri pernah pandu kereta, pasang khemah dan berniaga sendirian dalam keadaan hamil di pasar malam Tanjung Malim.
“Ketika itu saya masih belajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris dan ada kalanya kelas pada waktu petang. Bagi memastikan barangan kami dapat dijual, isteri sanggup berusaha memulakan perniagaan terlebih dulu sebelum saya sampai sebaik tamat kelas,” katanya.
Bercakap mengenai penggunaan teknologi dan peralihan medium pemasaran daripada ‘offline’ ke ‘online’, ujar Mohd. Hidayat, setiap peniaga tidak boleh mengelak daripada penggunaan teknologi dalam usaha merancakkan perniagaan mereka pada zaman serba canggih.
“Platform dalam talian seperti TikTok contohnya, jangan dianggap sebagai musuh sebaliknya perlu dijadikan kawan. Jangan sesekali kata susah sebaliknya perlu belajar dan kuasai agar tidak ketinggalan.
“Melalui platform itulah jualan kami banyak bertambah. Walaupun kami tidak memiliki cawangan di Sabah, Sarawak dan Brunei, namun produk kami sampai ke lokasi-lokasi jni hasil pemasaran secara dalam talian,” katanya.
Sementara itu Siti Murni memaklumkan, produk keluaran Dhia Cotton sentiasa dipastikan berada pada kualiti terbaik bagi memberi kepuasan kepada pelanggan.
“Semua produk kami menggunakan kain cotton (kapas) asli 100 peratus. Coraknya pula sentiasa dipastikan mengikut trend terkini dan setiap bulan akan ada beberapa corak dihasilkan bagi memberi lebih pilihan kepada pelanggan.
“Meskipun kualitinya terbaik, kami sentiasa menawarkan harga pada tahap mampu milik. Kepuasan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan dan sebab itu ada pelanggan yang kekal memilih untuk mendapatkan pakaian mereka daripada kami sejak 10 tahun lalu,” katanya. – UTUSAN