Dari lima ekor kambing, kini Zaidi jadi penternak muda berjaya - Utusan Malaysia

Dari lima ekor kambing, kini Zaidi jadi penternak muda berjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINAT yang mendalam terhadap bidang penternakan dan perniagaan telah mendorong seorang anak muda dari Kampung Semadong, di sini, untuk membela kambing dan biri-biri secara lebih serius.

Menariknya, Ahmad Zaidi Abdul Basher, 30, juga telah membantu datuk dan ayahnya sejak kecil lagi bagi menjaga ternakan berkenaan sehinggakan kini dia sendiri mampu memiliki dua buah kandang seluas kira-kira 2, 544 kaki persegi.

Ketika rakan seusianya masih sibuk dengan urusan persekolahan, Zaidi telah menceburi bidang penternakan sejak berumur 13 tahun lagi dan bermula dengan membeli lima ekor kambing sebagai permulaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zaidi berkata, dia sebelum ini hanya membantu keluarganya memelihara ayam dan itik di sekitar kawasan rumah mereka bagi mencari sumber pendapatan tambahan ketika masih bersekolah.

“Sekitar tahun 2008, saya bermula dengan membeli lima ekor kambing hasil daripada wang simpanan ketika membantu keluarga menjaga itik dan ayam tersebut.

“Dan daripada situ saya kemudiannya perlahan-lahan mengembangkan bidang penternakan ini sehinggakan mampu memiliki kandang kambing sendiri,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut, Zaidi berkata, selepas tamat persekolahan, dia telah bekerja di sebuah kafe secara separuh masa bagi menambah wang untuk mengembangkan penternakan kambingnya itu.

Anak sulung dari tiga beradik ini memaklumkan hasil simpanannya sewaktu bekerja sebelum ini telah digunakan bagi menambah ternakan kambing dan membesarkan kandangnya.

“Sehingga kini, saya memiliki kandang yang mampu memuatkan lebih 250 ekor kambing kacukan boer dan biri-biri Santa Ines terletak bersebelahan kawasan rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Zaidi berkata, dia turut giat melakukan kacukan kambing sendiri bagi mendapatkan baka yang baik untuk dipasarkan kepada pelanggannya sekitar kawasan Utara Malaysia.

Katanya, jualan kambing yang diusahakannya itu juga adalah mengikut musim dan pihaknya akan mendapat permintaan tinggi khususnya sewaktu musim perayaan.

“Jika diikutkan, dalam masa setahun saya mampu memasarkan sekitar 200 ekor kambing dengan harga antara RM600 sehingga RM800 bergantung kepada saiz,” katanya.

Selain itu, Zaidi berkata, antara cabaran besar yang dihadapinya dalam menguruskan ternakan kambing tersebut adalah bagi berdepan dengan serangan penyakit terhadap haiwan berkenaan.

Berikutan itu, dia berkata, pihaknya akan sentiasa memberikan rawatan dalam tempoh tiga bulan sekali bagi menggelakkan kambing-kambing berkenaan diserang penyakit.

“Antara rawatan yang diberikan kepada kambing-kambing peliharaan saya ini adalah melibatkan suntikan vitamin dan nyah cacing,” katanya.

Selain menjual hasil ternakan tersebut, Zaidi berkata, pihaknya juga turut menerima tempahan katering bagi menyediakan juadah berasaskan kambing daripada penduduk sekitar.

Ujarnya, ibunya, Azmira Mat Isa, 50, akan membantu menyediakan tempahan juadah itu bergantung kepada permintaan pelanggan mereka.

“Biasanya tempahan yang diterima adalah untuk kenduri dan ibu saya akan sediakan masakan yang diminta pelanggan seperti gulai kambing, kambing masak kurma, sup thai kambing, kambing golek dan pelbagai lagi,” katanya.

Di samping itu, Zaidi berkata, pihaknya juga turut mendapat bimbingan daripada Jabatan Veteriner negeri yang sentiasa membantu dalam memberi panduan bagi menguruskan ternakan kambing itu.

Tambah Zaidi, pihaknya juga mempunyai perancangan bagi memperluaskan lagi ternakan itu dengan membela lembu baka Charolais atau lembu sado selepas ini.

“Saya juga ada perancangan untuk membela lembu pendaging bagi memenuhi permintaan pelanggan kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya