Tuah 'air singgey' selamatkan perniagaan suami isteri - Utusan Malaysia

Tuah ‘air singgey’ selamatkan perniagaan suami isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Semasa pandemik Covid-19 menyerang negara sekitar Mac 2020 lalu, sepasang suami isteri hampir menutup restoran milik mereka iaitu Pondok Kebabom, Pasir Tumboh, di sini susulan tidak mampu untuk menampung kos operasi apabila perniagaan mereka merosot dengan begitu teruk sekali.

Situasi itu menyebabkan Kamaruzaman Hussin, 44, dan isterinya, Siti Nor Farah Abdul Dawari, 39, dari Kampung Wakaf Stan di sini ‘buntu’ memikirkan nasib mereka yang perlu memastikan dapur para pekerja terus bersap disaat berdepan dengan musibah berkenaan.

Lantaran itu Kamaruzaman mendapat ilham untuk mengkomersialkan sejenis minuman yang dijual di restorannya iaitu ‘air singgey’ atau jus serai.

Tindakan berani Kamaruzaman itu membawa tuah apabila air singgey menjadi ‘penyelamat’ perniagaan mereka apabila minuman itu ‘meletup’ sehingga tidak menang tangan memenuhi permintaan para pelanggan.

“Sejujurnya saya tidak menyangka produk minuman berasaskan campuran serai, lemon, daun pudina, perisa dan pengawet yang dibenarkan itu mendapat permintaan luar biasa daripada orang ramai.

“Hal ini kerana minuman ini hanya popular dalam kalangan pelanggan setia yang singgah ke Pondok Kebabom sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kamaruzaman memberitahu, dia berterima kasih kepada isterinya, Siti Nor Farah dan keluarga serta warga Pondok Kebaboom tidak putus-putus memberikan sokongan kepadanya semasa mengambil keputusan untuk membotolkan minuman tersebut dengan bantuan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Katanya, berkat tunjuk ajar daripada Mardi itu dia berjaya mengembangkan lagi produk tersebut sehingga mendapat tempat dalam kalangan pengguna.

“Air singgey ini saya hasilkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sebagaimana yang telah ditetapkan oleh kerajaan iaitu dengan memasaknya pada suhu antara 80 hingga 90 darjah celcius bagi memastikan ia tahan lebih lama.

“Penangan air singgey ini cukup besar apabila saya telah berjaya membuka sebuah kilang kecil bagi menampung permintaan tinggi di pasaran ketika ini,” katanya.

Kamaruzaman berkata, selain minuman dia turut mengeluarkan produk sambal yang dikenali sebagai bapak sambal.

Katanya, ketika ini dia membuka peluang kepada orang ramai untuk menjana pendapatan dengan menjadi agen kepada produk keluarannya itu dengan melayari Facebook KamalHusin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya