KUALA LUMPUR: Komited untuk mengembangkan perniagaan daging salai ke pasaran luar, pengasas Salaiport memandang serius pensijilan halal untuk produknya.
Menurut pengurusnya, Liyana Zamri, perniagaan yang diusahakan secara kecil-kecilan sejak 2017 itu dilihat mampu pergi jauh kerana permintaan yang tinggi sehingga mereka menerima pelbagai geran bagi memajukan lagi perniagaan mereka.
“Kami lihat potensi dalam produk daging salai yang dihasilkan, malah kami juga turut menyediakan pes masak lemak cili api yang terkenal dari Negeri Sembilan.
“Justeru, kami mulakan proses mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) kerana kami mahu orang lebih yakin dengan produk daging salai kami,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Liyana berkata, dia dan suami, Mohd. Khairul Samat bersyukur usaha mendapatkan sijil halal bagi produk mereka dipermudahkan dan telahpun diiktiraf halal oleh Jakim pada bulan lalu.
Ujarnya, mereka akan mengembangkan produk salai mereka ke pasar raya besar seperti Lotus’s dan Aeon terlebih dahulu kerana menyedari masih belum ada lagi produk salai dijual di pasar raya tersebut.
“Selepas itu, kami akan mengadakan perbincangan untuk usaha memasarkan produk kami ke luar negara. Untuk permulaan, kami akan fokus untuk menembusi pasaran Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) terlebih dahulu,” ujarnya.
Jelas beliau, sijil halal sememangnya banyak membantu perniagaan Salaiport kerana selepas baru sebulan disahkan halal, jualan syarikat terus meningkat lebih 30 peratus.
“Apabila kita memaparkan sijil halal pada produk, secara automatik ia meningkatkan keyakinan orang ramai untuk membeli produk kami.
“Sebelum ini, memanglah orang ramai akan membeli produk kami kerana diasaskan 100 peratus oleh muslim, namun, tidak dinafikan sijil halal lebih membantu dalam meningkatkan jualan pada pasaran yang lebih besar,” ujarnya.
Selain daging salai, Salaiport turut menawarkan lebih 10 produk termasuk itik salai, keli salai dan talapia salai dengan harga di antara RM9.90 hingga RM35 sepeket. – UTUSAN