Rakuten kekal penarafan beli bagi Malakoff - Utusan Malaysia

Rakuten kekal penarafan beli bagi Malakoff

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakuten Trade Research mengekalkan penarafan ‘beli’ bagi Malakoff Corporation Bhd dengan harga sasaran (TP) pada RM0.72 berasaskan kepada 0.7 kali harga kepada tempahan atau diskaun 30 peratus berbanding rakan setaranya.

Dalam nota penyelidikannya, Rakuten berkata, sebagai pengeluar tenaga bebas terbesar di Malaysia, dengan kapasiti 5,342 megawatt (MW), pihaknya menjangkakan Malakoff akan menjalani penarafan semula penilaian.

Katanya, margin bahan api negatif syarikat itu dijangka mengecil memandangkan harga arang batu yang stabil dan penyusutan inventori arang batu kos tinggi sedia ada

“Malakoff juga sedang mengubah portfolio asetnya menjadi lebih mampan dan mesra alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG).

“Selain itu, syarikat itu juga mempunyai kunci kira-kira yang kukuh dengan hasil dividen yang lumayan,” katanya di sini baru-baru ini.

Firma penyelidikan itu berkata, untuk meningkatkan kemampanan perniagaannya dan profil ESG, Malakoff sedang memulakan projek perintis pembakaran biojisim di loji Tanjung Bin Power (TBP) yang dijana arang batu 2,100 MW pada tahun kewangan 2024.

Tambahnya, syarikat itu dalam peringkat kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk tiga projek kuasa hidronya dengan jumlah kapasiti gabungan 84 MW.

“Malakoff juga menceburi perniagaan sisa kepada tenaga di Melaka dengan kapasiti pungutan 22 MW dan 1,000 tan sehari dan mempertimbangkan untuk membina loji turbin gas kitaran gabungan 2,250 MW baharu di tapak Tanjung Bin sebaik sahaja perjanjian pembelian kuasa TBP berakhir pada tahun kewangan 2030.

“Syarikat itu turut menyasarkan untuk mengembangkan kapasiti penjanaan tenaga suria daripada 40 MW semasa kepada 1,400MW menjelang tahun kewangan 2031,” ujarnya.

Rakuten berkata, inisiatif ini akan menyediakan kemampanan pendapatan jangka panjang dan akan meningkatkan profil ESG Malakoff dengan ketara pada masa hadapan.

“Walaupun margin bahan api negatif pada separuh pertama tahun kewangan 2023, Malakoff mengagihkan RM119.7 juta dividen atau bersamaan dengan hasil dividen sebanyak lima peratus.

“Memandangkan margin bahan api negatif berkurangan pada suku akan datang, kami yakin pelabur boleh terus menikmati hasil dividen yang menarik sambil mengikuti transformasi jangka panjang Malakoff ke arah syarikat tenaga boleh diperbaharui,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya