KUALA NERUS: Trend pengguna yang sangat mementingkan status halal sesuatu produk menyebabkan seorang usahawan nekad memohon pensijilan itu daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk meningkatkan kepercayaan pelanggannya.
Pemilik Qarith Services Sdn. Bhd., Mariam @ Sharifah Mariam Sh Along berkata, syarikatnya itu mula memiliki sijil halal tersebut pada 1 Julai 2022 untuk produk pes masakan dan pelbagai jenis lauk yang siap dimasak menggunakan teknologi retort.
Menurutnya, pes masakan yang telah diiktiraf halal oleh Jakim ialah pes tom yam, dendeng, daging hitam, masak merah, ikan bakar dan asam pedas yang dijual RM10 untuk setiap peket.
“Selain itu semua lauk yang sedia dimakan turut mendapat pengiktirafan halal iaitu lauk daging dendeng, daging hitam, daging rendang, daging kerutub, ayam masak merah dan sambal gesek yang dijual RM18 setiap peket.
“Alhamdulillah, setelah berjaya memperolehi sijil halal ini, jualan produk semakin meningkat dengan purata RM31,000 setiap bulan ketika ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau yang juga pemilik empat cawangan restoran Kunyek di Kuala Terengganu dan Selangor
berkata, sijil tersebut juga memberi nilai tambah kepada pelanggan di rangkaian restorannya itu kerana dapat menikmati pelbagai menu istimewa tanpa sebarang perasaan was-was.
Sharifah Mariam berkata, proses mendapatkan sijil halal Jakim tidak terlalu sukar, namun usahawan perlu memastikan semua kriteria yang ditetapkan itu dipatuhi agar permohonan tersebut tidak berdepan sebarang masalah.
“Secara peribadi, saya sendiri sangat menggalakkan usahawan lain untuk turut memohon sijil halal ini kerana ia akan merentas laluan yang lebih mudah untuk usahawan meneroka pasaran antarabangsa.
“Saya menyasarkan jualan semua produk ini mencecah RM400,000 menjelang akhir tahun ini dengan promosi berganda yang dilakukan syarikat dari aspek pemasaran.
“Kita bukan sahaja memasarkannya di pasaraya kecil seluruh negara, malah turut mempunyai hampir 20 ejen pemasaran serta pengiklanan tanpa henti di platform atas talian termasuk Shopee,” katanya.
Beliau yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kota Bharu itu juga bersyukur kerana mendapat pembiayaan kewangan dan bimbingan perniagaan daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Tambahnya, agensi lain seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) turut memberi pelbagai bantuan untuk mengembangkan lagi empayar perniagaannya.
Menurutnya, pembelian mesin berteknologi canggih untuk kegunaan kilang di Gong Badak oleh agensi kerajaan tersebut telah berjaya membantunya melonjakkan lagi produktiviti syarikat.
“Ketika ini, fokus saya adalah untuk menembusi pasaran antarabangsa kerana pes masakan dan lauk yang sedia dimakan sangat relevan dalam kehidupan harian semua orang.
“Selain lebih menjimatkan masa, ia juga sedap, berkhasiat, mengekalkan citarasa asli tradisional dan apa yang paling penting ia adalah halal,” katanya yang mahu bergelar usahawan berjaya untuk menyahut seruan jihad ekonomi umat Islam. – UTUSAN