PETALING JAYA: Precious Amber International Berhad (PAI) menawarkan sebanyak RM600 juta Saham Keutamaan (Preference Share) boleh tebus dengan memberikan kadar pulangan atau dividen yang tinggi iaitu di antara 10 peratus hingga 12 peratus setahun dalam tempoh lima tahun.
Untuk itu, PAI melancarkan memorandum maklumat buat kali ketiga bagi memperluas modal sedia ada serta merancang pelaburan strategik dalam merangka pertumbuhan dan pembangunan perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif PAI, Nur Arina Azreen Abdul Basher berkata, pihaknya mempunyai matlamat lebih besar menerusi pelancaran memorandum ketiga ini kerana ini merupakan dana terbesar berbanding dua dana sebelum ini.
Justeru, ujarnya, melangkah ke hadapan, syarikat bercita-cita untuk melancarkan pengurusan aset dan sukuk sendiri.
“Kami juga menyedari kepentingan perlindungan modal pelaburan buat para pelabur, jadi kami menawarkan perlindungan modal kepada pemegang saham melalui takaful yang dilaksanakan melalui syarikat insurans yang berperanan.
“Syarikat juga telah memperoleh insurans tanggungjawab profesional dan polisi takaful bagi perniagaan pengurusan pelabur dan ekuiti swasta sebagaimana yang diwajibkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan di bawah syarikat insurans yang terlibat.
“Apa yang penting, kami menawarkan pelaburan yang rendah risiko jadi sekiranya apa-apa berlaku pelabur boleh membuat tuntutan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum yang dirasmikan oleh Penasihat Kewangan PAI, Datuk Dr. Yasmin Mahmood, di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pelancaran memorandum tersebut bertujuan memberikan penerangan serta informasi mengenai pelaburan, strategi pelaburan terkini, serta potensi pulangan yang menarik kepada golongan individu mahupun korporat yang berminat dalam pelaburan yang konstruktif dan menguntungkan.
“PAI mempunyai rekod prestasi yang menunjukkan pencapaian luar biasa sepanjang tempoh tertentu. Sejak penubuhannya, kami telah berusaha untuk memberikan pulangan yang stabil dan menguntungkan kepada para pelabur.
“Pada Januari 2020, syarikat telah memulakan penerbitan dana pertama sebanyak RM60 juta dalam bentuk Redeemable Preference Share (RPS) yang berjaya dilanggan sepenuhnya pada Jun 2021, kemudian menghasilkan laporan audit pertama dengan menunjukkan pendapatan kasar sebanyak RM2.85 juta serta keuntungan sebanyak RM321,000 pada Oktober 2020.
“Pada Julai 2021 pula, kami telah melancarkan penerbitan kedua dalam bentuk Islamic Redeemable Preference Share sebanyak RM300 juta,” katanya. – UTUSAN