Lima cara B40 membina rekod CCRIS untuk pinjaman rumah - Utusan Malaysia

Lima cara B40 membina rekod CCRIS untuk pinjaman rumah

BAKAL pembeli perlu membina rekod CCRIS yang baik sebelum memohon pinjaman bank untuk membeli kediaman sendiri. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMBINA rekod kredit adalah satu daripada perkara yang penting untuk individu yang bercita-cita untuk mendapatkan pembiayaan bank terutamanya untuk membeli rumah.

Selain daripada penyata gaji dan syarikat mana anda bekerja, pihak bank akan melibat rekod pembayaran hutang seseorang individu itu dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Tambahan pula, bagi mereka dalam kalangan B4O atau mempunyai gaji yang rendah, sudah semestinya bank ingin tahu sama ada individu mempunyai rekod pembayaran hutang yang baik sebelum pinjaman terhadapnya diluluskan.

Skor kredit yang tinggi menunjukkan individu itu bagus dalam rekod kreditnya dan tidak lambat membuat pembayaran, manakala skor yang rendah atau kosong iaitu tidak mempunyai pinjaman membuatkan bank sukar untuk menilai sama ada mereka ini seseorang yang untuk membuat pembayaran balik.

Minggu ini, Pengasas Financial Faiz, Faiz Azmi berkongsi panduan dengan Ringgit cara-cara untuk membina rekod kredit untuk membeli rumah bagi golongan B40.

Amanah Saham Bumiputera (ASB)

Pembiayaan ASB adalah pinjaman yang baik kerana selalunya faedahnya lebih rendah dari pulangan dividen setiap tahun.

Anda boleh membina skor rekod kredit dengan membuat pembiayaan ASB yang mana jumlah paling rendah adalah sebanyak RM10,000.

Namun begitu, bank mungkin akan melihat jumlah tersebut adalah agak kecil dari segi komitmen bayaran bulanan kira-kira RM50 sahaja.

Jadi, bagi mereka yang berada pada had gaji minimum dicadangkan untuk mengambil pembiayaan sebanyak RM50,000.

Walau bagaimanapun, pilihan tersebut adalah ditangan anda sendiri dan mengikut kemampuan masing-masing.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)

Jika anda sudah mempunyai pinjaman PTPTN, mungkin anda tidak perlu mengambil pinjaman ASB untuk membina rekod kredit.

Sebaliknya, anda boleh terus membayar balik hutang tersebut seperti biasa kerana pinjaman PTPTN juga termasuk dalam rekod CCRIS.

Bagaimanapun, hutang PTPTN dianggap lemah bagi kaca mata bank dan ia tidak dapat memberi gambaran yang sebenar sama ada anda adalah pembayar hutang yang baik.

Jadi, anda mungkin boleh terus membayar PTPTN dan dalam masa yang sama mengambil pinjaman ASB bagi membina rekod CCRIS.

Kereta

Kereta adalah keperluan peribadi yang keempat penting dalam kehidupan harian di negara ini selepas makanan dan minuman, pakaian dan tempat tinggal.

Oleh itu, jika ada keperluan kepada seseorang itu untuk membeli kereta, maka pembiayaan membeli kereta tersebut secara automatik akan menjadi rekod CCRIS.

Tapi, janganlah pergi beli kereta semata-mata untuk membuat rekod CCRIS.

Kad Kredit

Kad kredit adalah cara yang baik untuk membina skor rekod kredit dan sangat disukai oleh pihak bank.

Ini kerana, kad kredit adalah pinjaman tidak dijamin berbanding pinjaman kereta yang boleh ditarik balik oleh bank jika peminjam gagal membuat pembayaran.

Jika seseorang itu mempunyai kad kredit, ini bermakna anda adalah peminjam yang baik terutamanya jika membuat pembayaran penuh setelah menggunakannya.

Walaupun pemilik kad kredit tidak menggunakan kadnya, mereka masih lagi dianggap sebagai peminjam yang baik daripada rekod setiap bulan mereka di CCRIS.

Namun, adalah diingatkan untuk mengambil kad kredit dan membelanjakannya dengan benda atau perkara yang tidak penting.

Pinjaman Peribadi

Perkara ini bukannya sesuatu yang baik, malah merupakan perkara yang buruk jika anda membuat pinjaman peribadi kerana ia adalah jenis pinjaman dengan kadar faedah yang tinggi.

Walau bagaimanapun, jika anda sudah pun mempunyai pinjaman peribadi, ini bermakna hutang ini juga telah diambil kira dalam rekod kredit anda. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya