Ketepikan kerja dunia korporat untuk buka bakeri - Utusan Malaysia

Ketepikan kerja dunia korporat untuk buka bakeri

BERMULA dari dapur rumah, kini Flour Crown memiliki premis sendiri yang dibeli dengan wang titik peluh pemiliknya, Wan Aifaa Shafia Wan Mohd. Sofi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GRADUAN Universiti Utara Malaysia (UUM) yang memulakan bisnes bakeri dari dapur rumahnya lapan tahun lepas, kini mempunyai kedai kek dan pastri yang dibina sendiri dengan wang titik peluhnya.

Ia merupakan kejayaan cukup membanggakan Wan Aifaa Shafia Wan Mohd. Sofi, 28, dari Jitra, Kubang Pasu Kedah iaitu pemilik syarikat Aifaa Cakes and Bakery Enterprise yang sanggup mengenepikan kerjaya dalam dunia korporat untuk bergelumang dengan tepung dan mentega.

Beliau yang lebih akrab disapa, Aifaa melabur hampir RM1 juta untuk membuka kedai bakeri baharu, Flour Crown di Taman Mahsuri Jitra itu menggunakan wang simpanan sendiri termasuk membeli premis perniagaan tersebut.

Wan Aifaa memberitahu, usahanya membuka premis perniagaan tersebut bertitik tolak daripada keinginan untuk mengembangkan syarikat berkenaan yang berawal dengan sebuah kedai kecil yang disewa tidak jauh daripada lokasi itu.

“Perniagaan Flour Crown di kedai lama yang saya sewa sejak 2019 bertahan sahaja tetapi statik iaitu tidak berkembang. Saya berhasrat untuk mengembangkan bisnes ini juga keuntungannya bukan sahaja diraih oleh saya tetapi juga pekerja-pekerja saya apabila mereka saya mampu memberikan kenaikan gaji yang tinggi atau bonus,” katanya ketika ditemui di Flour Crown, Taman Mahsuri dekat Jitra baru-baru ini.

Bekas graduan kewangan dan perbankan ini menambah, “Saya mengeluarkan sebanyak RM600,000 untuk membeli premis berkenaan serta RM300,000 bagi membuka Flour Crown ini. Ia bukan satu jumlah wang yang kecil dan saya berharap Flour Crown akan terus berkembang.”

Bercerita tentang pembabitan awalnya dalam bidang itu, ahli perniagaan ini memberitahu minatnya dalam bakeri itu bermula sejak di bangku sekolah.

“Saya suka buat kek dan pastri. Waktu masih bersekolah pun saya sudah mula ambil tempahan buat kek cawan daripada guru-guru dan rakan-rakan sekolah sampailah masuk universiti.

“Pada 2015 saya beranikan diri ambil tempahan kek sehinggalah Oktober 2019 bila ada duit simpanan sikit saya buka studio pertama Flour Crown. Buka bisnes ketika pandemik Covid 19 menular banyak yang anggap usaha saya sia-sia sahaja.

“Tetapi Alhamdulillah, saya berjaya buktikan sebaliknya. Walaupun sudah mempunyai premis baharu saya masih menyewa premis lama di Taman Melur Jitra yang dijadikan tempat produksi produk saya dan pejabat pengurusan,” jelasnya.

Bercerita lanjut, kata Wan Aifaa, minat mendalam dalam bidang itu dan usaha gigih menjadi formula kejayaannya untuk bertahan dalam keadaan ekonomi tidak menentu hari ini,

“Apabila mula-mula buat kek saya tidak ada kepakaran tetapi saya sanggup belajar sampai ke luar negara. Saya pernah berguru dengan studio kek dan pastri terkenal, Le Chef En Box di Paris, Perancis selama tiga bulan pada 2019.

“Saya juga turut mengikuti bengkel pastri di Seoul, Korea Selatan selepas itu dan banyak lagi kursus berkaitan,” katanya.

Wan Aifaa beranggapan, kesungguhannya itu berbaloi apabila pelbagai jenis kek serta pastri bertaraf premium menjadi pilihan pelanggan.

Beliau berkongsi pengalaman bahawa langkahnya dalam bidang itu tidak semudah disangka apatah lagi apabila dia membuat keputusan untuk berniaga daripada bekerja di pejabat di ibu kota.

“Keluarga sendiri agak terkilan apabila saya memilih untuk berniaga tetapi saya berusaha membuktikan bahawa bidang ini juga mempunyai masa depan dan mereka semakin memahami.

“Melihat ke belakang kembali saya merasakan sangat bersyukur kerana memilih karier ini,“ kata anak kedua daripada empat beradik ini.

Menurut Wan Aifaa, kariernya itu juga disokong sepenuhnya oleh suami, Nawfal Akram Morazuki, 29, yang juga merupakan seorang ahli perniagaan.

Selain menghasilkan kek dan pastri untuk kedai bakeri itu, kata Wan Aifaa, mereka turut menghasilkan tempahan untuk pengusaha lain terutama croissant yang sangat popular itu.

“Selain bakeri dan pastri yang menjadi signature Flour Crown, kami juga turut menyediakan pelbagai juadah makanan barat serta minuman daripada resepi istimewa chef kami,” katanya.

Bercakap tentang perancangan masa depan, kata Wan Aifaa, beliau berharap Flour Crown mampu berkembang dan turut mempunyai cawangan lain dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Semua ahli perniagaan harus ada target dan berusaha keras untuk mencapai sasaran itu. Dahulu saya target dalam masa lima tahun saya sudah miliki bakeri sendiri dan alhamdulillah saya capai itu kurang dari lima tahun,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya