Hartanah tidak terjual beban kepada pemaju dan negara - Utusan Malaysia

Hartanah tidak terjual beban kepada pemaju dan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAMBAKAN hartanah tidak terjual sejak beberapa tahun kebelakangan ini dilihat mampu memberi kesan buruk bukan sahaja kepada pemaju dan negara malah juga rakyat ekoran tidak mampu memiliki kediaman sendiri.

Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) mendefinisikan hartanah tidak terjual sebagai unit kediaman, komersial dan industri yang telah siap dibina dengan mendapat sijil penyiapan dan pematuhan tetapi masih tidak dapat dijual melebihi tempoh sembilan bulan dari tarikh dilancarkan atau selepas 1 Jan 1997.

Laporan Tahunan Pasaran Hartanah 2022 yang dikeluarkan NAPIC mendedahkan terdapat 27,746 unit rumah tidak terjual pada 2022 keseluruhannya bernilai RM18.41 bilion, dengan 76.5 peratus daripada keseluruhan jumlah unit rumah tidak terjual merupakan kediaman berharga RM300,000.

Data berkenaan juga menunjukkan, kediaman dengan harga RM300,000 sehingga RM500,000 merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 43.2 peratus atau 11,988 unit tidak terjual bagi 2022.

Selain itu, pada 2022, rumah dalam julat harga RM300,000 dan ke bawah merekodkan peratus paling rendah bagi unit tidak terjual sebanyak 4.6 peratus atau 6,509 unit.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Datuk Nazri Mustafa berkata, harga jualan rumah yang mahal menjadi penyumbang utama kepada berlakunya hartanah tidak terjual ekoran rakyat tidak berkemampuan.

Menurutnya, pembeli terpaksa berhadapan dengan masalah kelayakan memperoleh pembiayaan daripada institusi kewangan, pembayaran deposit serta kemampuan sebenar utuk membayar ansuran bulanan.

“Seperti yang diketahui, pembeli akan melihat terlebih dahulu kemudahan yang paling dekat dengan kediaman mereka seperti sekolah dan masjid, jadi sekiranya ini tiada maka mereka akan mencari kediaman lain.

“Oleh itu, kelulusan pihak berkuasa ke atas cadangan projek-projek perumahan baharu di lokasi tidak bersesuaian seperti jauh daripada kemudahan pengangkutan awam juga menjadi faktor hartanah tidak terjual,” katanya.

Nazri berkata, beliau tidak menolak kemungkinan jumlah hartanah tidak terjual akan bertambah dalam beberapa tahun lagi sekiranya pembangunan baharu terus dijalankan pemaju dengan tiada mekanisme mengawal jumlah rumah yang bakal dibina diwujudkan kerajaan.

Beliau berkata, meskipun pemaju memberikan potongan harga dan rebat, harga rumah baharu masih lagi tinggi sekali gus menyebabkan pembeli mengkaji semula rancangan memiliki kediaman sendiri.

“Terdapat juga kemungkinan untuk mereka melihat pasaran sekunder di mana prospek boleh melihat sendiri secara fizikal rumah yang telah siap dan mengkaji kesesuaian kemudahan yang ditawarkan.

“Selagi terdapat pembinaan rumah baharu yang dibina secara agresif oleh pemaju yang memerlukan aktiviti perniagaan yang aktif dan aliran tunai yang berterusan melalui penjualan rumah rumah baharu, selagi itu juga terdapat isu penawaran melebihi permintaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Nazri berkata, sekiranya masalah hartanah tidak terjual berterusan ia dikhuatiri mendatangkan kesan bukan sahaja kepada rakyat malah juga kepada pemaju dan negara.

Ujarnya, paling dikhuatiri adalah kesan kepada negara memandangkan setiap transaksi jualan hartanah mendatangkan hasil dan menyumbang kepada ekonomi melalui kutipan hasil dari duti setem, yuran pendaftaran serta cukai ke atas pemaju.

“Setiap transaksi hartanah mendatangkan hasil kepada banyak pihak di mana selain kutipan duti, ia mendatangkan peluang pendapatan kepada pihak bank, peguam, ejen hartanah, jurunilai, kontraktor ubahsuai.

“Selain itu, hasil juga diperoleh dengan penjualan alat-alat rumah seperti kabinet, lampu dan kelengkapan rumah di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang terlibat dengan pembinaan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, golongan pemaju juga bakal berhadapan rencatan aliran tunai serta tiada kutipan wang daripada hasil penjualan atau kutipan tidak mencapai sasaran sekiranya projek dibina tidak terjual.

“Apa yang kita khuatir adalah kesan ini akan menyebabkan kualiti binaan dikompromi, mutu kerja yang tidak mencapai piawaian, lewat siap dan yang lebih membimbangkan ialah jika ia menjadi faktor yang menyebabkan projek menjadi terbengkalai kerana isu kewangan yang meruncing.

“Kesan kepada rakyat pula secara umumnya tidak terlalu serius memandangkan rakyat yang berkemampuan mempunyai pilihan untuk membeli rumah yang tidak terjual dengan harga diskaun jika ditawarkan oleh pemaju bagi menghabiskan stok rumah sedia ada.

“Namun, terdapat kesan secara langsung kepada mereka yang membeli rumah di lokasi atau bangunan yang sama misalnya membeli kondominium atau pangsapuri di mana terdapat kemungkinan kutipan yuran penyelenggaraan tidak mencukupi untuk menampung kos penyelenggaraan kemudahan awam bangunan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya