BIL utiliti adalah antara komitmen bulanan yang tidak dapat dielakkan bagi setiap pemilik rumah mahupun penyewa.
Lebih banyak peralatan elektrik dalam rumah dan jumlah penggunanya, maka bil tersebut boleh melambung kepada ratusan, malahan ribuan ringgit bagi.
Tambahan pula cuaca di Malaysia yang panas mendorong kepada penggunaan pendingin hawa dan kipas sepanjang masa yang pastinya mendorong kepada peningkatan bil elektrik setiap bulan.
Pada minggu ini, RINGGIT ingin berkongsi panduan kepada orang ramai berhubung cara-cara untuk mengurangkan bil elektrik di rumah, di samping dapat menjadi pengguna yang lebih berhemah.
1. Cabut plag peralatan elektrik dan elektronik
Biasanya kita akan membiarkan plag peralatan elektrik berada pada suis selepas selesai menggunakannya.
Walaupun tidak menggunakannya, peralatan yang dipasang masih boleh mengalirkan elektrik ke peralatan tersebut.
Perkara terbaik untuk dilakukan ialah mencabut sebarang peralatan yang anda tidak gunakan.
2. Guna langsir untuk sekat sinaran matahari
Cahaya matahari langsung di rumah anda menjadikannya lebih panas, bermaksud pendingin hawa perlu bekerja lebih keras untuk menyejukkan ruangan di dalam rumah.
Gunakan bidai atau langsir yang tebal untuk menghalang cahaya matahari pada waktu siang.
3. Bersihkan pendingin hawa
Jika pendingin hawa anda sudah kurang sejuk, mungkin itu adalah pertanda bahawa sudah tiba masanya untuk dibersihkan.
Membersihkan penapis alat pendingin hawa untuk mengoptimumkan proses penyejukan.
Habuk pada penapis mengurangkan peredaran udara dan menjejaskan kecekapan alat pendingin hawa.
4. Penuhkan muatan peti sejuk dan sejuk beku
Peti sejuk beku berfungsi dengan lebih cekap apabila penuh, jadi cuba penuhkan muatan peti sejuk beku anda sepenuhnya.
Makanan dan minuman yang anda masukkan ke dalam peti sejuk dan sejuk beku bertindak sebagai penebat, menghalang peti sejuk anda daripada bekerja keras untuk menyejukkan barang didalamnya.
Anda juga boleh memasukkan bekas air beku ke dalamnya sebagai salah satu cara untuk memenuhkannya.
5. Gantung pakaian sehingga kering
Ketika ini, ramai yang menggunakan pengering pakaian untung mengeringkan pakaian kerana ia lebih cepat dan mudah.
Namun, apa anda manfaatkan cuaca panas di negara ini untuk mengeringkan baju dengan gantungkan pakaian anda sehingga kering di rak pakaian.
Selain menjimatkan kos untuk membeli mesin pengering pakaian, anda juga dapat kurangkan bil elektrik.
6. Guna mesin basuh apabila sudah penuh
Penggunaan mesin basuh adalah lebih cekap apabila muatan penuh.
Di samping itu, menunggu untuk membasuh pakaian apabila muatan penuh juga dapat mengelakkan anda menggunakan mesin berulang kali.
Ini, seterusnya bukan sahaja dapat menjimatkan elektrik, malah dapat menjimat penggunaan air.
7. Matikan Lampu
Cara mudah untuk mengurangkan bil elektrik secara berkesan yang sering terlepas pandang adalah mengurangkan menggunakan lampu pada waktu malam dan apatah lagi siang hari.
Memadamkan lampu akan mengurangkan penggunaan tenaga yang berkaitan dengan pencahayaan.
Selain itu, memadamkan lampu dapat menyejukkan rumah anda. Ini adalah kerana kebanyakan mentol menghasilkan haba, malahan termasuk mentol CFL. – UTUSAN