PERKEMBANGAN teknologi mendorong pembangunan hartanah kediaman pintar semakin mendapat tempat dalam pasaran bagi memenuhi gaya hidup moden.
Pemaju hartanah, Paramount Property tidak ketinggalan menawarkan projek kondominium kediaman pintar Arinna, Kemuning Utama di Shah Alam dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM201 juta.
Pembangunan pegangan bebas di kawasan seluas 2.4 hektar yang dilancarkan pada September tahun lalu itu kini sudah mencapai kadar ambilan sebanyak 94 peratus dan dijangka siap pada 2025.
Ciri kediaman pintar tersebut menawarkan kawalan lampu, penghawa dingin dan juga kipas.
Pemilik boleh mengawal peranti yang disambungkan rangkaian dari mana-mana sahaja dan membolehkan rumah menyambut pemilik pulang tepat pada masanya dengan keselesaan yang terbaik.
Pengurus Besar Jualan dan Pemasarannya, Chan Jy Mei berkata, Arinna adalah projek kediaman berkepadatan rendah dengan hanya 356 unit dalam dua menara yang terletak di perbandaran Kemuning Utama di Shah Alam.
Katanya, Kemuning Utama sendiri adalah perbandaran seluas 212.46 yang dilengkapi dengan kemudahan sekolah, kedai runcit, bank, restoran, pusat perubatan dan banyak lagi.
“Kondominium Arinna dibina dalam dua saiz iaitu 1,011 kaki persegi (tiga bilik tidur, dua bilik mandi) dan 1,528 kaki persegi (empat tambah satu bilik tidur, tiga bilik mandi). Semua unit dilengkapi dengan balkoni dan halaman yang sesuai untuk gaya hidup Malaysia.
“Unit terhad berkeluasan 1,011 kaki persegi masih tersedia untuk dijual dengan harga bermula dari RM542,000, manakala semua unit 1,528 kaki persegi telah habis dijual.
“Saya ingin menggalakkan mereka yang terfikir untuk membeli hartanah mereka untuk segera merebut beberapa unit terakhir,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Sementara itu, beliau berkata, bukti mengapa kediaman ini sudah hampir habis terjual adalah jelas kerana ia adalah rumah pintar moden bersaiz besar, dengan kemudahan yang hebat dan dengan keselamatan berbilang peringkat.
Ujarnya, saiz dan bilangan bilik dalam setiap unit menjadikan kediaman yang sangat selesa untuk keluarga dan memudahkan mereka yang bekerja dari rumah.
“Selain itu, pembangunan ini juga dilengkapi dengan kemudahan rekreasi dalam pembangunan adalah hebat dan keluarga boleh menikmati masa bersama di kemudahan rumah kelab, termasuk kolam renang, taman permainan dan kawasan hijau,” ujarnya.
Paramount Property juga mengambil kira manfaat jangka panjang pembeli rumah apabila syarikat mereka bentuk kompleks runcit tujuh lot mini, yang merupakan sebahagian daripada kemudahan bersama Arinna.
Jelasnya, kompleks runcit ini akan dimiliki oleh pemilik Arinna dan bukannya dijual oleh Paramount untuk keuntungan.
“Sewa yang dikutip daripada lot-lot ini akan menjadi pendapatan bagi pemilik Arinna dan boleh digunakan untuk mengurangkan caj penyelenggaraan. Yuran penyelenggaraan ialah 36 sen setiap kaki persegi,” tambahnya. – UTUSAN