Sijil halal bukti produk bersih dan selamat untuk digunakan - Utusan Malaysia

Sijil halal bukti produk bersih dan selamat untuk digunakan

Norli Hamzah menunjukkan sijil halal keluaran JAKIM yang diperolehinya semasa ditemui di kilangnya di Sungai Layar dekat sini baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Sijil halal yang diperoleh Trenor Teguh Trading merupakan satu pengiktirafan tidak ternilai sebagai pengeluar pelbagai produk aneka sos jenama 3noR yang diusahakan oleh Norli Hamzah sejak 15 tahun lalu.

Norli, 59, berkata, ia juga akan memberi peluang untuknya menguasai pasaran domestik selain menjadi pembuka jalan untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Jelas usahawan orang kelainan upaya (OKU) itu, dia kini boleh berbangga kerana perniagaan yang diasas keluarga secara kecil-kecilan sejak 1963 kini semakin pesat berkembang dan dikenali ramai selepas diambil alih olehnya.

“Sebaik mengambil alih sepenuhnya perniagaan ini pada 2009 yang membabitkan penghasilan sos cili, tomato dan kicap lemak manis, saya tambah pengeluaran perencah sos ikan dan daging bakar serta sos char kuetiau.

“Syukur sambutan hebat yang diterima daripada pengguna daerah ini melalui pengeluaran lebih 4,000 botol pelbagai jenis sos sebulan membuat saya berkeinginan meneroka pasaran luar negara dalam mengembangkan syarikat ini,” katanya.

Kata ibu kepada tiga anak ini, walaupun mempunyai sijil Makanan Selamat Tanggung Jawab Industri (MeSTI) selama ini tetapi sijil dan logo halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memang diperlukan kerana pasaran global meyakini standard pematuhan halal yang dilaksanakan.

“Ini penting sebagai jaminan produk syarikat saya sememangnya bersih dan selamat digunakan yang secara langsung akan menghapuskan persepsi negatif selepas pelbagai produk lain yang diragui dan banyak di pasaran.

“Saya memang menekankan dari segi penghasilan sos keluaran kami dengan hanya menggunakan bahan segar, diproses secara bersih bagi menjaga kualiti jenama 3noR ini untuk terus kekal selamanya menjadi sebutan pengguna,” katanya.

Norli yang turut memenangi Anugerah Usahawan Sahabat Istimewa yang diberikan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berkata, kejayaan mengembangkan perniagaan itu bertitik tolak daripada penyertaannya dalam AIM Cawangan Sungai Petani sejak 2008.

“AIM banyak membantu saya dari segi khidmat nasihat mengurus perniagaan untuk bergelar pengusaha dan penyediaan modal hingga membolehkan saya menaik taraf kilang di Sungai Layar, di sini.

“Malah, kerjasama baik menyertai bengkel, seminar dan jualan serta pemasaran produk di bawah kendalian Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) merupakan peluang bernilai untuk bergelar usahawan kecil dan sederhana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya