DASAR Perumahan Negara (DPN) perlu disemak semula dalam menggalakkan pemasangan dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui termasuk pemasangan panel solar di atas bumbung kediaman bagi projek perumahan.
Pensyarah Kanan Program Pengajian Ukur Bangunan, Kolej Pengajian Alam Bina, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sr. Dr. Wan Samsul Zamani Wan Hamdan berkata, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu melakukan perubahan ke atas DPN dengan mengadunkan teknologi hijau di dalam perumahan negara.
Ujar beliau, usaha mempakejkan pemasangan panel solar atas bumbung memerlukan perubahan strategik bagi menjayakannya.
“Pada era berteknologi tinggi kini, DPN perlu digembleng dengan tenaga boleh diperbaharui yang bukan sahaja melibatkan penggunaan solar panel bagi menggantikan penggunaan elektrik malah juga bekalan air dengan menggunakan kaedah penuaian air hujan bagi tangki simpanan di rumah.
“Justeru, untuk melaksanakan penggunaan solar dan penuaian air hujan bagi mengurangkan kadar kebergantungan elektrik serta bekalan air dirawat, perubahan melibatkan DPN perlu dilaksanakan dan jika berjaya ia boleh mengurangkan beban pengurusan individu, masyarakat dan industri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas beliau, sekiranya perkara itu dilaksanakan, impaknya bukan sahaja kepada pengguna malah juga kepada pemain industri seperti pemaju perumahan serta vendor-vendor yang menawarkan solar bumbung untuk kegunaan kediaman.
“Kerana itu saya katakan saranan ini perlulah bermula daripada pihak kerajaan dengan bagaimana pemaju yang hendak membuat pembangunan bakal menerima beberapa manfaat serta pembeli yang bakal membeli dapat diringankan beban mereka,” katanya.
Wan Samsul turut berkongsi cadangan beliau agar pemaju menyediakan pakej solar bumbung di setiap kediaman yang mereka jual dalam menggalakan pembeli dalam bentuk spesifikasi premium dan mampu milik.
“Dia sama macam kereta ada yang spesifikasi premium ada yang spesifikasi rendah, jadi terpulang kepada pemaju bagaimana mereka hendak tawar kepada pembeli rumah mana yang sesuai dengan bajet mereka.
“Satu lagi kaedah adalah apabila pembeli membeli rumah mereka boleh memilih sama ada untuk memasang panel solar bagi kegunaan penuh atau juga untuk kegunaan tertentu sahaja,” katanya.
Ditanya apa langkah yang wajar dilaksanakan kerajaan selain melakukan semakan DPN bagi penggunaan teknologi hijau, Wan Samsul berkata, pihak kerajaan boleh memberi pengecualian cukai kepada syarikat hartanah serta pembeli.
“Kerajaan boleh melaksanakan pengecualian cukai kepada pemaju-pemaju yang melaksanakan pemasangan solar bumbung dalam projek-projek perumahan mereka bagi memperbanyakkan penggunaan solar bumbung kediaman.
“Untuk pembeli pula, pengecualian cukai boleh ditawarkan kepada mereka yang memilih pemasangan solar bumbung bagi tempoh tiga ke lima tahun atau kos pemasangan solar boleh ditolak melalui cukai pendapatan secara berperingkat,” katanya. – UTUSAN