UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) memperkenalkan fasa kedua Kiara Bay yang dinamakan Residensi ZIG, sebuah residensi bagi keluarga pelbagai generasi yang direka untuk wujud bersama pesekitaran hijau disekelilingnya.
Terletak di Kiara Bay, perbandaran utama UEM Sunrise, pembangunan berkeluasan 1.38 hektar (3.4 ekar) yang merangkumi 1,126 unit terbahagi kepada tiga zon, iaitu zon A dan C yang merangkumi 56 tingkat, manakala zon B sehingga 50 tingkat.
Dari segi pelan lantai, kediaman ini mempunyai lima saiz binaan utama bagi memenuhi pelbagai keperluan generasi keluarga, daripada studio sehingga unit empat bilik tidur, bermula daripada 42 meter persegi (450 kaki persegi) hingga 111 meter persegi (1,198 kaki persegi) yang luas, terdiri daripada susun atur empat bilik tidur dan tiga bilik mandi yang dilengkapi dengan taman dan teres peribadi.
Setiap unit bermula dengan harga RM340,888 (RM575 setiap kaki persegi).
Setiap tingkat mempunyai 26 unit dengan dua set lif, dengan pelbagai unit semi-D dan banglo.
Unit-unit yang lebih besar terletak di zon premium dan memerlukan kad kunci khas untuk masuk, meningkatkan keselamatan dan ketenangan penduduk.
Ketua Pegawai Pemasaran UEM Sunrise, Kenny Wong berkata, Residensi ZIG merupakan sebuah kediaman yang berkonsepkan biofilik dan membuktikan alam semula jadi boleh wujud bersama seisi keluarga.
“Memandangkan Residensi ZIG adalah pembangunan bertema biofilik kami, ia memberi tumpuan terhadap kewujudan persekitaran yang membolehkan para penduduk menyambung semula dan menyelami alam semula jadi bagi meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental mereka.
“Kawasan hijau pembangunan ini bukan sahaja terletak di aras bawah dan podium tetapi juga di aras tengah (aras 35 dan 37) sehingga ke bumbung untuk dinikmati oleh penduduk,” katanya ketika pelancaran media Residensi ZIG, baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pembangunan UEM Sunrise, Mardiana Rahayu Tukiran berkata, Residensi ZIG membawa kelainan apabila didatangkan dengan beberapa dinding tertentu yang boleh ditukarganti atau dibuka.
“Ia sesuatu yang kami fikirkan dapat memberi kemudahan bagi memenuhi pelbagai gaya hidup penduduk dan untuk menjadikan reka bentuk dapur yang tertutup untuk unit-unit tertentu.
“Sebagai contoh, pasangan yang baru berkahwin boleh membuka dinding mudah alih di bilik kedua untuk mendapatkan ruang tamu yang lebih besar, kemudian memasang semula dinding tersebut apabila sudah mempunyai anak,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mardiana berkata, pihak UEM Sunrise juga bekerjasama dengan Universiti Malaya (UM) untuk membaik pulih Tasik Metropolitan Kepong yang berada di kawasan pembangunan itu agar ia boleh dimanfaatkan oleh kejiranan pada masa hadapan.
Di samping itu, beberapa unit juga dilengkapi dengan halaman bandar dan balkoni, memberi kebebasan kepada penduduk untuk memanfaatkan sepenuhnya ruang balkoni untuk dobi tertutup dan kemas, serta memberikan pemandangan kejiranan Kepong yang menarik dan juga sekilas Genting Highlands dari jauh.
Selain itu, reka bentuk Residensi ZIG bukan sahaja berkisar pada penyesuaian flora di sekeliling pembangunan, malah mengambil kira cahaya matahari serta pengudaraan semula jadi setiap unit rumah.
Pembangunan tersebut dibina dengan orientasi untuk mengelak cahaya matahari menembusi ruang unit, di samping menerima cahaya semula jadi.
Terdapat pelbagai kemudahan asas di Residensi ZIG yang bersesuaian untuk seluruh keluarga dan masyarakat, termasuk kolam pusingan 50 meter dikelilingi oleh pintu masuk berinspirasikan pantai, taman permainan untuk pelbagai generasi, kawasan permainan dalaman dan taman dengan bahagian untuk berkelah.
Bagi mereka yang menjalani gaya hidup aktif, pembangunan tersebut dilengkapi dengan gelanggang badminton, gimnasium, bahagian kesihatan dengan dek yoga, stesen senaman, sudut buaian, Taman Tranquil dengan dek meditasi, sudut teh, serta taman herba untuk penduduk yang lebih gemar bertenang selepas kesibukan harian.
Terletak di perbandaran Kiara Bay, yang juga terletak dalam kejiranan Kepong yang matang, Residensi ZIG mudah diakses melalui pelbagai lebuh raya seperti Lebuhraya Lingkaran Tengah Kuala Lumpur 2 (MRR2), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Selayang-Kepong lebuh raya dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).
Dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM646.2 juta, Residensi ZIG dijangka siap pada suku terakhir 2027. – UTUSAN