PUNB salur RM290 juta pembiayaan sejak 1991 - Utusan Malaysia

PUNB salur RM290 juta pembiayaan sejak 1991

AHMAD Nazlee bersama media bergambar dengan salah satu rakan usahawan PUNB di Langkawi, Warisan Sdn. Bhd. di premis pembuatan dan jualan minyak gamat keluarannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Sejumlah 880 permohonan melibatkan peruntukkan pembiayaan sebanyak RM290 juta telah diluluskan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) kepada 780 buah syarikat Bumiputera di Kedah sejak penubuhan agensi berkenaan.

Ketua Jabatan Pemasaran dan Komunikasi PUNB, Ahmad Nazlee Idris berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM25 juta pembiayaan telah diberikan kepada 50 buah syarikat di Langkawi.

Bagaimanapun, katanya, daripada 780 buah syarikat yang pernah dibantu PUNB sejak 1991, hanya sekitar 160 syarikat sahaja masih aktif menerima pembiayaan PUNB manakala bakinya ada yang sudah tamat atau dikenakan tindakan undang-undang kerana gagal membayar semula pinjaman.

“Kebanyakan syarikat yang dibantu PUNB di Kedah dan negeri-negeri lain merupakan sektor automotif, profesional, pakaian dan fesyen serta makanan dan minuman.

“PUNB tidak memberi tumpuan kepada industri mengikut geografi negeri masing-masing, sebaliknya kami melihat kepada empat sektor utama iaitu automotif dan profesional seperti doktor, arkitek dan akauntan.

“Dua lagi sektor yang dibantu PUNB adalah dari segi pakaian dan fesyen serta makanan dan minuman yang lebih kepada restoran berkonsep dan juga pemprosesan makanan sejuk beku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Program Jelajah Rakan Usahawan PUNB Langkawi, Kedah Bersama Media, baru-baru ini.

Ditanya mengenai jumlah pembiayaan yang diluluskan PUNB kepada usahawan di Kedah secara am dan Langkawi secara khususnya pada tahun ini, Ahmad Nazlee berkata, agensi berkenaan telah meluluskan kira-kira RM4 juta pembiayaan kepada sembilan usahawan di negeri jelapang padi itu setakat 31 Julai.

Ujar beliau, PUNB menyasarkan untuk membiayai antara lapan sehingga 10 syarikat Bumiputera di Kedah sehingga 31 Disember tahun ini dengan sasaran pembiayaan berjumlah RM5 juta.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai usahawan PUNB di Langkawi, beliau berkata, sebanyak 20 buah syarikat masih aktif menerima pembiayaan, namun tiada pertambahan syarikat yang menerima pembiayaan sehingga 31 Julai tahun ini.

“Usahawan kami di Langkawi kebanyakannya adalah syarikat perusahaan yang menjurus ke arah industri pelancongan seperti butik hotel, perkhidmatan kapal rekreasi dan lain-lain.

“Industri pelancongan di Langkawi sebenarnya baru sahaja bermula tahun ini selepas pandemik Covid-19, berbanding tahun lepas yang masih perlahan. Jadi, kemungkinan tahun ini atau tahun depan akan ada pembiayaan baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya